datuk-ahmad-ismail

Oleh Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail menyatakan rasa kecewanya terhadap Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), kerana tuduhan mengenai isu doping baru-baru ini telah menjejaskan maruah pemain dan pasukan kebangsaan dengan begitu teruk.

Dua hari lalu, enam pemain dan tiga pegawai pasukan kebangsaan digantung sementara oleh ISTAF kerana dilaporkan enggan menjalani ujian doping di Kejohanan Dunia Piala Raja Thai, Bangkok bulan lalu.

Sambil menafikan tuduhan itu, PSM mendakwa bahawa kesemua pemain telah memberikan kerjasama kepada pegawai anti-doping pada awal kejohanan namun menegaskan tiada seorangpun di antara mereka dimaklumkan untuk menjalani ujian tersebut sekali lagi.  

“Kami dipanggil untuk ujian rambang pada 19 Oktober selepas final antara regu, yang mana kami telah memberikan kerjasama dengan baik. Seorang pemain kita, Syahir (Rosdi) telah telah menjalani ujian tersebut, dan kita ada bukti kita melakukannya. Tapi tiada pula mereka menyuruh pemain-pemain ini buat ujian sekali.

“Tuduhan ini adalah tidak adil bagi pemain-pemain, mereka tidak tahu apa-apa. Maruah mereka tercalar dan gambaran awal sekarang ini orang tanya kenapa mereka lari. Kalau orang ramai sangka mereka lari kerana ambil dadah, itu tidak benar,” kata Ahmad.

Enam pemain berkenaan, berdepan penggantungan minimum dua tahun dan maksimum empat tahun sekiranya didapati bersalah dan mereka diberi tempoh 14 hari (sehingga 6 Disember) untuk kemukakan rayuan.

Justeru Ahmad berkata PSM akan membantu mereka menangani isu ini dengan baik dan membantu mereka menjawab surat rayuan, memastikan ia dihantar kepada ISTAF dalam tempoh yang ditetapkan.

Ahmad dalam masa sama menafikan isu ini ada kaitan dengan tindakan memboikot perlawanan akhir acara berpasukan di kejohanan itu, di mana regu kedua Malaysia gandingan Izurin Refin, Ahmad Aizat Azmi, Khairul Zaman Hamir Akhbar, Afifudin Ramli dan Safaruddin Abu Bakar membuat keputusan tidak turun beraksi di set kedua atas alasan pengadilan berat sebelah.

- Advertisement -