lee.ka.yi

Oleh Muhammad Aiman

Pemain skuash negara, Rachel Arnold hanya selangkah sahaja lagi dipisahkan dari merangkul gelaran  kedua kariernya setelah mara ke final Kejohanan Skuash Terbuka Pulau Pinang dengan menewaskan Lee Ka Yi di separuh akhir pada Jumaat.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Skuash Antarabangsa Nicol David, Rachel tidak bermasalah untuk menyingkirkan pemain Hong Kong itu hanya dalam masa 20 minit menerusi kemenangan 11-6, 11-7 dan 11-1.

“Saya sedikit bernasib baik kerana Ka Yi nampak seperti mengalami kecederaan. Saya tewas kepadanya ketika kali terakhir kami bertemu. Tapi saya gembira mara ke final, saya tidak memulakan kejohanan ini dengan begitu baik tapi saya perbaiki prestasi saya dari perlawanan demi perlawanan.

“Sekarang saya hanya mahu kekal fokus untuk perlawanan akhir. Saya akan turun berikan yang sehabis baik dan tampil dengan cara permainan sendiri,” ujar Rachel yang juga pemenang pusingan ke-11 Sirkit Skuash Jelajah Malaysia pada Disember tahun lalu.

Menanti Rachel pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung petang Sabtu adalah pilihan kedua kejohanan, Tong Tsz Wing, juga dari Hong Kong.

Tidak seperti Rachel yang mara mudah, Tsz Wing dikerah bekerja keras oleh seorang lagi pemain muda negara Vanessa Raj dan mengambil masa 43 minit sebelum berjaya melakar kemenangan 11-6, 11-7 dan 11-8.

- Advertisement -