Selangor akan bertandang ke Stadium Darul Aman untuk pertembungan menarik Liga Super menentang pasukan tangga kedua, Kedah pada Sabtu namun persiapan skuad Red Giants itu tampak pincang apabila mereka bakal turun setidak-tidaknya tanpa empat pemain tonggak.

Selangor yang ketika ini di tangga keempat dengan 23 mata dan mengintai peluang memecah masuk ke kelompok tiga teratas tidak dapat menurunkan kapten pasukan Razman Roslan serta pemain sayap lincah Andik Vermansyah kerana kecederaan.

Manakala khidmat dua penyerang, Syahmi Safari (gambar utama) dan Adam Nor Azlin pula tidak dapat digunakan memandangkan kedua-dua pemain itu ketika ini memperkuatkan skuad B-23 kebangsaan yang akan beraksi di pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok dari 19-23 Julai nanti.

“Menentang Kedah menjanjikan satu perlawanan yang cukup sukar buat kita dan sudah tentunya ianya lebih berliku tanpa pemain utama. Kita cukup merasai ketiadaan pemain-pemain ini apatah lagi saingan liga semakin sengit dan kita sedang cuba berikan tentangan yang terdaya mungkin.

“Andik umpamanya telah membawa satu perubahan besar sejak dibawa masuk semula ke dalam pasukan malah memainkan peranan penting dalam dua kemenangan di tempat lawan (menentang Perak dan Sarawak).

“Kedah mempunyai kelebihan penyokong sendiri dan mereka sedang berusaha keras untuk mengejar kedudukan Johor Darul Takzim. Jadi ianya tugas getir buat kita untuk cuba dapatkan keputusan positif dari sana,” ujar jurulatih, P.Maniam yang dijangka mempertaruhkan kudrat Amri Yahyah dan Rufino Segovia untuk memburu jaringan.

Untuk rekod, Andik yang digugurkan Selangor kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament pada awal musim kembali didaftarkan bagi menggantikan Victor Astafei ketika jendela perpindahan kedua pada bulan Jun dan dia dilayangkan kad merah ketika Selangor menang 1-0 ke atas Perak dalam aksi Liga Super di Ipoh pada 11 Julai lalu. 

Kemenangan itu adalah yang ketiga buat Red Giants dari empat perlawanan terakhir dan mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah sejak saingan Liga Malaysia kembali bersambung dari cuti panjang pada 1 Julai.

Skuad yang pernah menjulang Liga Super pada 2009 dan 2010 itu ketika ini ketinggalan hanya satu mata di belakang Pahang yang mengumpul 24 mata tatkala Kedah dengan 27 mata di tempat kedua – skuad bimbingan Nidzam Adha Yusoff itu masih menaruh harapan untuk mengejar pendahulu yang semakin sukar digugat, Johor Darul Takzim di sebalik ketinggalan jauh sembilan mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -