PAKAR pecut muda negara, Muhammad Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengesahkan status apabila masing-masing mengutip emas keempat peribadi mereka pada hari terakhir trek berbasikal Sukan Malaysia Ke-20 (Sukma XX) di Velodrom Nasional, hari ini.

Muhammad Ridwan yang yang mewakili Johor dan mengutip emas acara pecut, 1km ujian masa dan pecut berpasukan, mudah mengungguli saingan final Keirin hari ini, dengan masa 10.737s, mengatasi cabaran daripada pelumba Perak, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dan wakil Terengganu Zulfahmi Aiman Zulkurnain.

Pengalaman bersaing di pentas antarabangsa nyata menjadi pemisah apabila dia bijak menepis dua wakil Perak dan Kedah pada penentuan emas keirin itu.

Faktor sama juga meletakkan Nurul Izzah Izzati sebagai pemenang emas, sekaligus memenuhi jangkaan daripada kem kontinjen Kedah dalam acara keirin wanita itu.

Dia yang sebelum ini merangkul emas pecut, pecut berpasukan dan 500 meter ujian, memenangi final keirin dengan masa 12.074s, menewaskan pelumba Pulau Pinang Nurul Aliana Syafika Azizan dan wakil Selangor, Yong Ann Yi.

Sementara itu, pelumba wanita Perak, Nyo Ci Hui membuat membuat kejutan apabila membutirkan kayuhan emas buat Perak dalam acara 10km Scratch Race wanita.

Pelumba Terengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan juga membuktikan kekuatan pecutan pada saat-saat akhir untuk memastikan emas 15km Scrtch Race lelaki, mengatasi Muhammad Yusri Shaari (Perak) dan Zulhelmi Zainal (Johor).

- Advertisement -