kim.swee

Oleh Muhammad Aiman

Safawi Rasid menjadi pemain terakhir digugurkan Dato’ Ong Kim Swee dari senarai 23 pemain skuad kebangsaan yang akan membawa cabaran di Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon bermula 20 November ini. 

Pemain T-Team itu gagal merebut tempat di dalam skuad bersama-sama kapten Perak, Nasir Basharuddin dan pertahanan kiri Melaka, Ahmad Khuzaimi Piee.

Menurut Kim Swee, “Sukar untuk saya menamakan tiga pemain ini tetapi oleh kerana peraturan saya terpaksa. Saya berharap mereka tidak kecewa dengan keputusan ini, mereka masih lagi muda dan punyai masa depan cerah untuk mewakili negara selepas ini.”

Dengan pengguguran Nasir dan Khuzaimi sudahpun dijangka lebih awal kerana kedua-duanya mengalami kecederaan, Safawi pula diketepikan kerana Kim Swee mempunyai banyak pilihan di posisi tengah kiri.

“Safawi bermain di tengah kiri, di situ kita ada Hadin (Azman), Amri (Yahyah) dan Syazwan (Zainon). Seperti saya katakan, sukar buat penilaian antara satu pemain ke satu pemain yang lain. Tapi kerana faktor Safawi masih muda, masih boleh main B-22 dan mempunyai masa depan cerah.

“Ini adalah skuad terbaik pernah saya kumpulkan, dan saya percaya mempunyai kualiti untuk melangkah lebih jauh. Kalau kita lihat sejak tewas dengan Indonesia, selepas itu kita seri dengan Singapura, kemudian sedikit peningkatan ketika bertemu Afghanistan.

“Semalam (lawan Papua New Guinea) nampak lagi peningkatan, saya tidak mengatakan kita sempurna, memang belum tapi kita perlu usahakan lagi apabila menentang Kemboja, Vietnam dan Myanmar,” kata Kim Swee selepas majlis penyerahan jalur gemilang oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada skuad kebangsaan sebentar tadi.    

Untuk rekod, Malaysia pada Isnin meraih kemenangan moral setelah bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan PNG 2-1 menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri dan Amri Yahyah – ia juga aksi persahabatan terakhir sebelum bertandang ke Myanmar.

Meskipun tidak cukup meyakinkan, Kim Swee berjaya mencuba beberapa gandingan baru seperti Shahrul Saad dan Shahrom Kalam di pertahanan, Irfan Fazail dan Baddrol Bakhtiar di tengah serta Hazwan dan Darren Lok di barisan depan yang dilihat menunjukkan keserasian dan memberi impak positif. 

“Kita masih ada empat atau lima hari sebelum menentang Kemboja, saya belum tahu siapa kesebelasan utama yang akan diturunkan kerana saya mempunyai lebih banyak pilihan selepas perlawanan semalam. Amri boleh bermain sebagai pemain sayap, saya mempunyai empat orang penyerang iaitu Norshahrul Idlan, Darren, Safee Sali dan Hazwan dan kesemua mereka punyai kebolehan berbeza.

“Mereka bermain dengan baik dan sudah tentunya saya perlu menggilirkan mereka bergantung pada situasi. Saya mempunyai banyak pilihan di mana saya boleh memikirkan mengenai strategi-strategi yang berbeza,” kata Kim Swee.

Pasukan kebangsaan akan bertolak ke Yangon pada Rabu, 16 November dan membuka tirai aksi Kumpulan B dengan menentang Kemboja (20 November), diikuti Vietnam (23 November) dan Myanmar (26 November).

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM yang juga pengurus pasukan, Dato’ Hamidin Amin berpendapat segala kemelut yang dilalui sepanjang tempoh mempersiapkan pasukan hanya akan menjadikan skuad ini lebih kuat dan keyakinannya cukup tinggi sasaran awal layak ke separuh akhir dapat dicapai. 

“Setelah beberapa siri persahabatan dan latihan, saya boleh katakan semua telah memberi komitmen tinggi, mengerah sehabis maksima. Macam saya katakan pada Safee, kalau tidak 90 minit, sekurang-kurangnya saya mahu 30 minit Safee yang 2014 jadi dia tahu apa mahu dilakukan. Dia dan Norshahrul akan menjadi senjata saya di sana nanti. Kita akan bekerja keras untuk membawa skuad ini ke separuh akhir, itu janji kita.”

- Advertisement -