Ivan Oh, Hoe Thomson dan Emmanuel Leong

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan karate negara menutup tirai Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang berlangsung di Port Dickson dengan nota suram tanpa sebarang tambahan pingat emas.

Ianya penamat mengecewakan buat kem negara apabila pasukan kumite lelaki dibarisi Y. Balakrishnan, R. Sharmendran, R. Govinash, S. Premkumar, S. Thinagaran dan S. Mohanraj sekadar berpuas hati meraih pingat perak setelah tunduk 8-9 kepada Indonesia dalam aksi final.

Manakala pasukan kumite wanita dibarisi Syakilla Salni Jefri Krishnan, Shree Sharmini Segaran, S. Khasvini dan M. Mathivani pula tunduk menerusi keputusan pengadil kepada Vietnam di separuh akhir sekaligus sekadar meraih pingat gangsa.

Kegagalan Malaysia menokok emas pada hari terakhir kejohanan menyaksikan Vietnam yang dibimbing jurulatih dari Latvia, Maxim Ivansikovs bergelar juara keseluruhan dengan mengutip 14 emas, 8 perak dan 11 gangsa manakala Malaysia di tempat kedua dengan 8 emas, 5 perak dan 14 gangsa.

Ianya jelas pencapaian yang cukup impresif buat Vietnam memandangkan mereka memenangi sembilan daripada 12 pingat emas dalam acara kumite selain menyapu bersih kesemua pingat emas dalam acara kata individu dan berpasukan wanita.

Meskipun masih terlalu awal untuk membuat rumusan, tetapi pencapaian itu sebenarnya sudah cukup untuk menimbulkan kebimbangan mengenai peluang sukan karate yang selalunya dianggap sebagai lubuk emas Sukan Sea untuk mempertahankan reputasi itu di temasya Kuala Lumpur 2017.

Setiausaha Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Vincent Chen berpendapat kepincangan yang terlihat di SEAKF memberi ruang untuk menekan butang kecemasan lebih awal walaupun Malaysia menurunkan rata-ratanya atlet muda kurang pengalaman untuk membawa cabaran di kejohanan ini.

“Tahniah kepada Vietnam, mereka berhak menang memandangkan mereka hadir ke sini dengan persiapan rapi. Malaysia dan Indonesia pula tidak menepati ekspetasi. Tetapi ia sudah tentunya lebih baik kita tahu di mana kelemahan kita sekarang berbanding mengetahuinya kemudian.

“Keputusan di sini juga membuktikan bahawa sukan ini tidaklah berat sebelah, kerana ramai yang menjangkakan kita (Malaysia) akan muncul juara keseluruhan. Malah, rata-rata pengadil kali ini adalah dari Indonesia,” katanya.

Di SEAKF kali ini, hanya dua daripada lapan emas Malaysia hadir menerusi kategori senior iaitu kata berpasukan lelaki gandingan Ivan Oh, Hoe Thomson dan Emmanuel Leong serta kumite bawah 75kg yang dimenangi oleh R.Sharmendran – kedua-duanya pada Sabtu.

Manakala baki enam emas kesemuanya adalah melalui kategori remaja (16-17 tahun) pada Jumaat – kata berpasukan lelaki dan wanita, kata individu lelaki, kumite lelaki bawah 68kg, kumite lelaki lebih 76kg dan kumite wanita bawah 48kg.

- Advertisement -