SELANGOR bakal menjadi tumpuan peminat badminton tempatan dan antarabangsa menjelang berlangsungnya Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor 2024 (SELBATC 2024) yang menghimpunkan bintang-bintang badminton Asia di sini, bulan depan.

Kerajaan Negeri Selangor, menerusi perakuan dan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tampil sebagai tuan rumah kejohanan berprestij Asia itu buat kali kedua berturut-turut.

SELBATC 2024 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di Shah Alam, dari 13 hingga 18 Februari depan.

Kejohanan benua di bawah kendalian Badminton Asia itu bakal menyaksikan  penyertaan kelompok pemain lelaki dan wanita terbaik Asia termasuk dari empat pasukan pilihan iaitu China, Jepun, Korea dan penyandang juara Malaysia, yang akan bersaing bagi memastikan kelayakan secara merit ke Piala Thomas dan Uber di Chengdu China, pada Mei depan.

Kerajaan Negeri Selangor tampil sebagai tuan rumah kejohanan selepas kejayaan penganjuran SELBATC pada 2022 di venue yang sama.

SELBATC 2024, yang akan menyaksikan penyertaan lebih 350 pemain dan pegawai dari 15 negara, dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan Halimi, anggota EXCO Kerajaan Negeri bagi Belia, Sukan dan Keusahawanan yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa penganjur kejohanan.

BATC merupakan antara kejohanan terbesar Badminton Asia, yang merupakan badan induk kepada 43 negara anggota dari lima benua kecil Asia. SELBATC 2024 merupakan kejohanan kali ketiga dianjurkan di Malaysia dengan Alor Setar, Kedah sebagai hos kali pertama sebelum ini pada 2018, diikuti Selangor pada 2022 dan 2024.

Selangor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang menjadi penganjur dua kali berturut-turut. Hyderabad India menjadi penganjur pertama pada 2016 manakala Manila menjadi hos pada 2020.

Selain merupakan pentas kelayakan ke saingan Piala Thomas dan Uber 2024 di China Mei ini, SELBATC 2024 pasti menarik perhatian dan penyertaan pemain kerana ia menawarkan mata ranking bagi kelayakan ke Sukan Olimpik di Paris tahun ini. Tempoh kelayakan ke Olimpik dijangka berakhir pada April ini.

SELBATC 2024 mempertandingkan saingan berpasukan lelaki yang bakal menyaksikan penyertaan 15 pasukan dengan China, Indonesia, Jepun, dan penyandang juara Malaysia disenaraikan sebagai empat pasukan teratas diikuti India, Chinese Taipei, Thailand, Korea, Hong China, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu, Kazakhstan, Arab Saudi, Myanmar dan Brunei.

Saingan kategori wanita pula menampilkan 11 pasukan iaitu China, Jepun, Thailand, juara bertahan Indonesia, Chinese Taipei, India, Malaysia, Hong Kong China, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu dan Kazakhstan.

Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan Halimi, berkata sebagai antara negeri termaju di Malaysia yang kaya dengan tradisi dan sejarah kegemilangan sukan, Selangor akan terus menyokong penganjuran acara-acara antarabangsa utama di negeri itu.

“Penganjuran SELBATC 2024 buat kali kedua berturut-turut ini merupakan bukti komitmen tinggi kerajaan Negeri dalam memperkasa dan mengembangkan lagi industri dan budaya sukan di Selangor, dan pada masa yang sama, menebar manfaat sosial dan ekonomi kepada rakyat Selangor menerusi pelbagai aktiviti pelancongan sukan di negeri ini,” kata beliau.

“Selangor berbesar hati mendapat peluang untuk sekali lagi menjadi penganjur BATC selepas dua tahun. Ia menjadi bukti kepercayaan komuniti badminton antarabangsa terhadap kemampuan Selangor untuk menganjurkan kejohanan besar sebegini,” kata Yang Berhormat Tuan Mohd Najwan.

Beliau menambah kata: “Para peminat, samada di Selangor, seluruh Malaysia, Asia dan antarabangsa amnya, bakal disajikan dengan aksi berkelas dunia sepanjang seminggu penganjuran kejohanan nanti di SCCC Shah Alam.  Menerusi sokongan padu Badminton Asia dan BAM, Selangor akan terus mengorak Langkah membantu kemajuan badminton menerusi SELBATAC 2024.”

Turut hadir pada majlis pelancaran, pengumuman penaja dan penjualan tiket kejohanan SELBATC 2024 hari ini ialah Setiausaha Agung Badminton Asia Datuk Kenny Goh, yang juga merupakan Setiausaha Agung BAM, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Tuan Mohamad Nizam Marjugi dan Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Encik Chooi Weng Sheng.

SELBATC 2024 dianjurkan dengan Negeri Selangor sebagai Hos / Penaja Perdana dan diperakui oleh Badminton Asia, BAM sebagai Hos Penganjur  dan Majlis Sukan Negeri Selangor / RSM Sport sebagai Penganjur Bersama manakala  Astro merupakan  Penyiar Rasmi dan Victor sebagai Rakan Rasmi.

BATC merupakan salah satu kejohanan utama kendalian Badminton Asia yang bertujuan mengembangkan pembangunan dan memperkasa sukan badminton di rantau ini menerusi kerjasama rapat dengan pemegang taruh utama seperti negara penganjur, agensi-agensi di negara hos, jawatankuasa penganjur dan penaja.

- Advertisement -