Oleh Muhammad Aiman
Sentuhan jurulatih dari Belarus, Yuri Zhukovsky dapat membantu pasukan Muay Thai negara untuk memberi tentangan sengit kepada seteru utama, Thailand seterusnya menyumbang dua pingat emas yang disasarkan di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih Muay Thai negara, Bernard Radin yang melihat kehadiran Zhukovsky beserta dua jurulatih dari Thailand pada April nanti berpotensi memperkasakan lagi persiapan atlet-atlet Malaysia.Â
âAtlet Belarus sentiasa menyerlah di pentas antarabangsa. Mereka menjadi satu-satunya negara yang memberikan masalah kepada Thailand jadi sebab itulah kita memilih dia (Zhukovsky) untuk bersama kita. Namun pada masa sama kita tetap mengambil jurulatih dari Thailand,â kata Radin.
Dua jurulatih dari Thailand itu dijangka menyertai pasukan negara ketika Program Kita Juara memasuki fasa ketiga pada awal April manakala Zhukovsky yang merupakan juara Piala Dunia 2003 hingga 2005 serta pemenang pingat emas di Piala Eropah 2011 pula dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang.
Dua juara Eropah â Persekutuan Kebangsaan Muay Thai Amatur (IFMA) iaitu Artem Avanesov dan Pavel Morozov adalah antara atlet yang pernah mendapat tunjuk ajarnya.
Muay Thai di KL 2017 menawarkan lima pingat emas dan meskipun dua emas itu dianggap sebagai sasaran realistik, Bernard menyatakan dia percaya bahawa semua atlet negara mempunyai potensi untuk memenangi emas.
Ketika ini, seramai 10 atlet sedang menjalani latihan fasa kedua Kita Juara dan antara sandaran utama adalah Mohd Lokman Akimi Mat Roji, Mohd Rafi Abdul Manaf dan Ain Kamarudin.