Pengkritik bolasepak tanah air yang juga bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, meninggal dunia petang semalam.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar yang dihubungi media tempatan mengesahkan bahawa Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri lebih kurang pukul 7.30 malam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Johor Darul Takzim (JDT) berduka dengan pemergian bintang bola sepak yang pernah mewarnai arena bola sepak negara itu, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, yang juga dikenali sebagai Shebby Singh.

“FAM mengucapkan salam takziah kepada keluarga Serbegeth Singh susulan pemergiannya secara mengejut petang tadi. Mendiang Shebby meninggalkan isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh,” menurut catatan di laman sosial FAM.

“Kelab Bolasepak JDT terkejut dengan berita bahawa bekas Penasihat Teknikal JDT dan pemain Johor FA dan Malaysia, Serbegeth Singh telah meninggal dunia. Keluarga JDT ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Serbegeth. ‘Rest in peace’ Shebby,” menurut catatan di media sosialnya, Johor Southern Tigers.

Mendiang dilahirkan pada 20 Ogos 1960 dan bakat Shebby kelahiran Kluang, Johor mula dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, individu yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Bekas jurulatih pasukan Kuala Lumpur mendiang S. Subramaniam kemudian berjaya memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah menyertai Kuala Lumpur pada 1983.

Shebby menyarung jersi kebangsaan ketika di kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982. Beliau mengumpul 61 penampilan mewakili negara sehingga persaraannya, selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia, iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989, serta gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai pemain pertahanan kental sepanjang kerjayanya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.

 

- Advertisement -