Aksi pertama Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 tamat dengan barisan muda negara tewas 0-2 kepada Repton H.C pada pertemuan yang berlangsung di Repton Hockey Club.

Skuad Remaja Negara berjaya bertahan dengan baik pada awal perlawanan namun kesilapan menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada Repton H.C menyaksikan pasukan lawan itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-27.

Empat minit selepas suku ketiga perlawanan bersambung, Repton H.C menambah satu lagi gol kali ini hasil gerakan padang untuk kedudukan berubah 0-2 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan menyifatkan perlawanan pertama yang dilalui oleh anak-anak buahnya adalah satu perlawanan yang banyak memberikan pengajaran berguna kepada barisan muda negara untuk terus memperbaiki setiap kesilapan yang telah dilakukan.

“Perlawanan pertama ini merupakan satu pembelajaran yang baik untuk pasukan kerana ini juga merupakan perlawanan antarabangsa pertama dalam tempoh dua tahun ini.

“Banyak perkara yang masih lagi boleh diperbaiki dan banyak yang kami belajar daripada perlawanan hari ini,” jelas Wallace Tan.

Skuad Remaja Negara akan turun menentang Pasukan B-21 England di Bisham Abbey bagi perlawanan kedua yang akan berlangsung pada Rabu (5 Oktober) jam 11.30 malam waktu Malaysia.

- Advertisement -