Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner percaya kehadiran penyerang import baharu, Adisak Kraisorn akan memberikan aura luar biasa kepada pasukan dalam memperkuatkan lagi jentera serangan pada musim depan.

Terengganu terlebih dahulu mengumumkan penyerang kebangsaan Thailand ini telah menandatangani kontrak selama dua tahun bagi mengisi kuota pemain asing Asean yang ditinggalkan oleh Manuel Ott.

Secara peribadi, Steinbruckner sendiri telah membuat penilaian terhadap pemain dari kelab Muangthong United itu bagi memastikan pemilihan yang dibuat adalah tepat untuk meletakkan Terengganu di tahap cemerlang pada musim depan.

Namun, sudah pasti paling utama adalah untuk mencipta keserasian terbaik antara pemain-pemain terlebih dahulu memandangkan ini adalah kali pertama Adisak beraksi di pentas Liga Malaysia.

“Saya ada cara saya yang tersendiri untuk menilai dan mengenali seseorang pemain di mana saya bersama jurulatih lain juga turut sama berbincang mengenai pemain ini (Adisak Kraisorn).

“Saya lihat dia sememangnya seorang penyerang yang cukup bagus ketika di Thailand dan percaya dia boleh bermain dengan cara kami di Terengganu, jadi kami semua memutuskan untuk mengikat Adisak.

“Sudah tentu dia juga perlu bersedia dengan sebaiknya untuk menyesuaikan diri di sini dan jujurnya saya terkejut juga tengok banyak komen selepas pengumuman dibuat memberi sokongan positif dengan kehadirannya.

“Jadi, selepas ketiadaan beberapa pemain berkualiti seperti Faisal Abd Halim, Tchetche Kipree, Manuel Ott dan Kpah Sherman, saya cuba untuk menerapkan sesuatu yang lebih aggresif untuk pasukan ini dan mengharapkan terbaik”, jelasnya.

Selain itu, jurulatih dari Croatia ini turut mengakui tekanan yang dirasai apabila mengambil alih pasukan yang telah meraih pencapaian terbaik pada musim ini di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Namun, beliau mengambil tanggungjawab ini dengan misi yang jelas untuk membawa Terengganu ke tahap cemerlang bukan sahaja di Liga Malaysia malah di pentas Piala AFC.

“Kita tahu apa yang pengurusan inginkan dan juga apa yang penyokong mahukan daripada pasukan ini sebab Terengganu merupakan kelab besar.

“Mereka telah ada sejarah yang cukup hebat selepas apa yang dibuat oleh Nafuzi Zain bersama pemain-pemain pada musim ini jadi sudah tentu bukan tugas yang mudah untuk saya.

“Tetapi saya berjanji untuk melakukan tugas ini dengan baik bagi sekurang-kurangnya pasukan mungkin dapat mencapai hampir sama dengan apa yang telah diraih tahun ini atau lebih baik”, tambahnya.

Terengganu merupakan naib juara Piala FA 2022 dan menduduki tangga kedua Liga Super sekali gus layak beraksi di pentas Piala AFC 2023.

- Advertisement -