ATM Guardians terus unggul menerajui kedudukan teratas Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 selepas berakhir saingan minggu ketiga di Gem In Mall, Cyberjaya pada Ahad lalu.

Regu bimbingan Aswadi Abdullah itu mengekalkan permulaan sempurna mereka menang kesemua tujuh perlawanan musim ini dengan menewaskan Kelantan Warriors 2-0.

Apit kanan veteran Khairuddin Adenan yang direhatkan kerana kecederaan ketika menewaskan PDRM Defenders kembali memperkuatkan pasukan dan gandingannya bersama-sama tekong kebangsaan Hairul Hazizi Haidzir serta Norfaizzul Razak nyata terlalu ampuh untuk disaingi regu Kelantan Warriors iaitu Aidil Aiman Azwawi-Hisyam Mat-Yuslie Jusoh.

Trio Khairuddin-Hairul-Norfaizzul menampilkan permainan mantap dan cukup berdisiplin untuk bangkit daripada ketinggalan jauh 3-10 dan menang 21-18 di set pertama sebelum mengesahkan kemenangan mudah 21-10 di set kedua.

Hairul Hazizi yang ditemui selepas perlawanan mengakui dia sendiri tidak menjangka ATM Guardians boleh mengekalkan momentum kemenangan sehingga berakhir minggu ketiga sambil menyifatkan bahawa kunci utama prestasi cemerlang mereka adalah kerana kurangnya tekanan.Ā 

ā€œRamai tidak memberi tumpuan kepada ATM Guardians dan itu sebenarnya dari satu sudut membantu kami bermain dengan keyakinan diri yang tinggi. Kami menunjukkan ketenangan ketika ketinggalan jauh dan apabila kami menemui rentak, Kelantan mula hilang fokus dan melakukan kesilapan.

ā€œKami menunjukkan kerjasama sepasukan yang tinggi dan lebih penting kami tidak hilang kepercayaan, berdoa, bertawakal dan berusaha. Kami tahu motivasi pemain Kelantan terjejas teruk selepas tewas set pertama dan kami manfaatkannya untuk menghukum mereka,ā€ kata Hairul Hazizi.

Jurulatih Kelantan Warriors, Rozlan Ismail pula terkilan pasukannya tewas kedua-dua perlawanan pada minggu ketiga dan menganggap pemainnya kurang bersedia dari aspek mental mahupun fizikal.

ā€œKita telah cuba memberikan tentangan, saya membuat pertukaran dengan mengeluarkan Hisyam dan menggantikannya dengan Farid (Aziz) bagi mempelbagaikan servis tetapi yang nyata adalah kita kurang bersedia. Kita kurang menjadi dalam pelbagai aspek, tidak bertahan dengan baik terutama apabila menerima servis daripada mereka dan ianya ketara mereka kepenatan. Saya bukan cuba mencari alasan tetapi faktor perjalanan jauh turut memainkan peranan,ā€ ujar Rozlan.Ā  Ā 

Kekalahan keempat buat Kelantan Warriors dalam tujuh perlawanan menyaksikan mereka tergelincir ke kedudukan ketujuh dalam kedudukan liga.

Sementara itu, juara bertahan Penang Black Panthers melonjak semula ke kedudukan kedua liga setelah membenam Selangor Pistons 2-0.Ā Ā Ā 

Black Panthers yang bereksperimen dengan membariskan pemain berbeza dalam beberapa perlawanan terdahulu kembali menurunkan regu terkuat mereka gandingan Syahir Rosdi-Zaim Razali-Azlan Alias dan mereka tidak bermasalah untuk membenam Farhan Adam-Yushairil Amir Yusof-Shafirul Nizam Zainal dengan keputusan 21-15, 21-18. Ā Ā Ā 

Dalam satu lagi aksi, PDRM Defenders menerusi gandingan Syafiq Rahman-Hafiz Izudin Wahab-Izzat Zainal melakar kemenangan ketiga setelah menewaskan Terengganu Turtles 2-0 (21-18, 21-15).

Kemenangan membolehkan PDRM Defenders memperbaiki kedudukan dengan melonjak ke tangga ketujuh manakala Terengganu Turtles yang tewas kali kelima tergelincir ke tangga kelapan.

Perak Bison pula menghadiahkan Melaka Titans kekalahan kelima berturut-turut setelah gandingan trio Yus Hanif Rosli-Azwan Muhrim-Fadzil Mustapha melakar kemenangan 2-0 (21-13, 22-20) ke atas Khobil Sapair-Hasif Yusof-Asyraaf Zawawi.

Kemenangan ketiga buat Perak Bison menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat manakala Melaka Titans kekal terperosok di tangga tercorot – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -