Bintang Johor Darul Takzim, Natxo Insa percaya skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe akan akhirnya keluar dari badi kemenangan lebih setahun dengan menjadikan Mongolia sebagai mangsa pertama.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Sepanyol itu dijangka akan memainkan peranan selaku enjin tengah pasukan dan dia sedar hanya kemenangan merupakan penawar kepada prestasi hambar yang menyebabkan skuad negara terperosok ke tangga 178 dunia.

Menurutnya, “Mongolia pasukan yang tidak boleh dipandang mudah, mereka pertaruhkan ramai pemain B-23 yang pastinya cukup energetik. Tetapi kita juga ada skuad yang bagus, wajah baru dan lama. Ini masa untuk bangkit, kekal fokus dan komited semuanya akan dipermudahkan.”

Aksi menentang Mongolia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis (22 Mac) dan kemudiannya Lubnan (kelayakan Piala Asia) pada 27 Mac depan juga merupakan tugasan pertama Cheng Hoe selepas mengambil alih peranan ketua jurulatih dari Nelo Vingada tahun lalu.

Selain Natxo, turut disenaraikan buat pertama kali oleh Cheng Hoe adalah pertahanan JDT, La’vere Corbin Ong tatkala bekas pengendali Kedah itu turut memanggil semula Khairul Fahmi Che Mat dan Mahali Jasuli, selain mempertaruhkan sembilan pemain dari skuad B-23 kebangsaan termasuklah bintang muda, Akhyar Rashid.

Malaysia dalam misi memburu kemenangan pertama selepas 16 bulan – kali terakhir skuad kebangsaan merasai nikmat kemenangan adalah pada November 2016, menewaskan Kemboja 3-2 dalam perlawanan pembukaan Piala AFF Suzuki.

Sepanjang 2017, Malaysia beraksi sebanyak lapan perlawanan – seri dua dan tewas enam termasuk dua kali kepada Korea Utara November lalu sekaligus tersingkir dari merebut tempat di pusingan akhir Piala Asia 2019. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -