#Lebih 3,500 sertai dari pelbagai lapisan masyarakat berhimpun untuk sertai perjuangan menentang kanser

#Acara popular tahunan ini berjaya kutip dana berjumlah RM250,000 untuk penyelidikan kanser

Larian amal Terry Fox Run Kuala Lumpur 2023 (TRFKL) dilangsungkan dengan jayanya pada Sabtu lalu, menyaksikan Taman Tasik Metropolitan Kepong dibanjiri ‘lautan putih’ apabila lebih 3,500 peserta berhimpun demi mengumpul dana untuk penyelidikan kanser.
Acara tahunan popular itu telah berjaya mengumpul sejumlah RM250,000 untuk edisi kali ini.

Kutipan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penganjur Cancer Research Malaysia untuk membiayai pelbagai jenis penyelidikan berimpak agar dapat memperkasakan lagi perjuangan melawan penyakit kanser.

TRFKL telah berlangsung meriah sekali dengan orang ramai tidak kira tua muda, mahupun bangsa dan agama, sama-sama mengenakan kemeja T putih memaparkan wajah mendiang Terry Fox yang direka bentuk oleh bintang Hollywood Ryan Reynolds dan melengkapkan larian berjarak 3.5km.

Berbeza dengan acara larian yang lain, TRFKL bersifat santai. Para peserta bebas memilih untuk berlari, berjalan serta berkasut roda bagi melengkapkan satu pusingan di taman tasik tersebut.

Sebaik tiba di garis penamat, setiap peserta telah dianugerahkan sebutir pingat ekslusif sebagai tanda penghargaan.

Kesemua peserta sememangnya berhak menggelarkan diri masing-masing sang juara kerana mereka adalah wira dalam perjuangan menentang kanser.

Ini adalah kali pertama pingat diberikan sejak TFRKL mula dianjurkan pada 1991.
Warren Mak, sukarelawan utama TFRKL selama lebih 20 tahun yang mengetuai pasukan marshall tahun ini, berkata, “Ini adalah kali pertama kami memberikan pingat dan ia sangat istimewa bagi penyokong Terry Fox kerana ia merupakan item koleksi daripada acara yang penuh makna.”

Menurut Andy Khoo, Ketua Pegawai Eksekutif Cancer Research Malaysia: “Adalah satu penghormatan besar bagi Cancer Research Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Yayasan Terry Fox tahun demi tahun, dan kami beruntung untuk menjadi penganjur dan penerima manfaat pada masa yang sama.”

Khoo juga berkongsi, “Setiap 11 saat, akan seorang individu Asia maut akibat kanser. Berbanding etnik lain di negara-negara maju, orang Asia adalah lebih terdedah kepada risiko maut kerana kanser. Pun begitu, pelbagai kemajuan telahpun dicapai dalam usaha memerangi penyakit ini dalam tempoh 22 tahun ini di negara ini.

“Oleh itu, berita baiknya adalah kerana penyelidikan perubatan, kadar kelangsungan hidup kanser telah berganda dalam 50 tahun terakhir. Hari ini, sekurang-kurangnya satu daripada dua pesakit kanser akan sembuh daripada penyakit ini, dan kini kita mempunyai kaedah untuk mengurangkan risiko kanser dan meningkatkan kelangsungan hidup daripada penyakit ini.

“Mendiang Terry Fox mempunyai misi untuk meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana bagi penyelidikan kanser, dan beliau mengidamkan satu dunia yang bebas kanser. Di Cancer Research Malaysia, kami bekerja keras untuk merealisasikan visi tersebut dan ia hanya akan dapat dilaksanakan dengan sokongan orang ramai kerana organisasi kami dibiayai sepenuhnya oleh geran dan derma.”

“Kelak, kami berhajat untuk menganjurkan juga Larian Terry Fox di seluruh tanahair. Kami percaya menerusi penganjuran ‘Marathon of Hope’ di bandar-bandar utama yang lain akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai dan terus mengumpul lebih banyak dana bagi penyelidikan kanser, sekaligus menyelamatkan lebih banyak nyawa dalam kalangan masyarakat Asia,” kata Khoo.

Acara tersebut turut dihadiri oleh beberapa personaliti terkenal termasuk Dr. Kartini Ariffin, yang pernah terkenal dengan program popular TV3, 3R, deejay radio Datuk Yasmin Yusoff dan juara maraton kebangsaan, Muhaizar Mohamad.

Kartini, yang didiagnosis dengan kanser payudara tahap awal pada awal tahun ini, kini adalah seorang pendukung kempen kesedaran kanser.

Kartini berkata, “Harapan saya ialah larian ini akan meneruskan perbualan mengenai kesedaran kanser. Kita perlu membincangkan kanser dengan harapan dan positiviti, bukannya negativiti. Mereka yang sedang melawan kanser mahupun para penjaga harus dikelilingi oleh orang yang berkongsi misi yang sama. Saya juga berharap untuk lebih banyak penyelidikan kanser yang relevan dengan tempatan kita, sama seperti apa yang dilakukan oleh Cancer Research Malaysia.”

- Advertisement -