Terengganu meraih dua emas acara memanah compound Olimpik Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) menerusi acara berpasukan dan individu lelaki di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Sementara itu, trio wanita Pulau Pinang memastikan emas selepas menewaskan Pahang, 218-217, sambil Johor memenangi gangsa.

Namun Johor tidak berputih mata apabila Noraqilah Khairul muncul pemenang dalam acara individu wanita, menewaskan pemanah Pulau Pinang Kayalvhily 145-142.

Sarawak pula turut gembira dengan sebutir emas acara campuran menerusi gandingan Josiah Hong/Siti Aishah Ahmad Ishak yang menewaskan pasangan Terengganu, Athirah Awni Mat Yatya/Mohd Syafiq Md Ariffin, 149-146.

Namun Mohd Hazmi Aisar Azmi nyata menjadi tonggak buat Terengganu dalam acara compound itu apabila memulakan kebangkitan emas apabila bersama-sama Mohd Syafiq dan Mohd Ammar Mohd Amin ketika menewaskan trio Selangor dalam perlawanan akhir 226-220 dalam 4 end.

Mohd Hazmi Aisar kemudian terus tersenyum dalam acara individu lelaki apabila menewaskan rakan sepasukan, Mohd Ammar, 144-141, sekali gus memenangi emas kedua peribadinya.

Sementara itu, Mohd Syafiq gembira walaupun misi peribadinya meraih dua emas tidak kesampaian dalam temasya kali ini.

“Alhamdulillah saya menang acara berpasukan lelaki walaupun hampa dalam acara campuran. Ini Sukma kedua dan terakhir saya dan saya amat berpuas hati,” katanya yang sekadar pulang dengan tiga gangsa pada Sukma Perak 2018.

- Advertisement -