Lebih tiga dekad menabur bakti dalam arena sukan negara, kini tiba masa untuk Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz mengucapkan selamat tinggal selepas bersara secara rasmi.

Datuk Dr Ramlan cukup sinonim dalam pentadbiran sukan negara serta kepakarannya dalam perubatan menyaksikan namanya pernah berada di Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

1990 menjadi detik bermula kariernya dalam arena sukan negara, apabila memulakan khidmat di MSN dan kemudiannya dilantik sebagai pemangku pengarah unit Sains Sukan MSN tiga tahun kemudian.

Selepas menimba ilmu di Universiti of London di peringkat Masters Perubatan Sukan, Datuk Dr Ramlan kembali semula ke tanah air dan dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN dari 2005 hingga 2007.

Beliau kembali ke meja Sains Sukan MSN yang telah dipisahkan dari MSN dan dikenali dengan Institut Sukan Negara (ISN) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 2013.

Pengalamannya dalam bidang perubatan sukan menyaksikan beliau dipinjamkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memimpin Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 2017.

Dr Ramlan pernah dilantik sebagai Chef de Mission Sukan SEA 2009, Laos dan Para Asian yang berlangsung di Guangzhou, China pada 2010.

Meskipun sudah bersara, diharapkan ilmu yang dimiliki dapat dikongsi bersama demi membangunkan dan memajukan arena sukan di Malaysia ketika ini untuk memastikan Jalur Gemilang dilabel bukan sahaja sebagai jaguh Asia Tenggara, malah hingga ke pentas dunia.

 

 

- Advertisement -