Beregu wanita negara M Thinaah -Pearly Tan menampilkan aksi cemerlang bertemu pasangan Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir Perodua Masters Malaysia dengan keputusan 21-18, 21-17 untuk melangkah ke separuh akhir.
Set pertama menyaksikan serangan pantas di depan jaring menjadi kunci pasangan negara dalam memastikan kemenangan mereka walaupun menerima tekanan yang berterusan daripada beregu Indonesia itu.
Di set kedua saingan tambah sengit dengan mata demi mata sering terikat sehinggalah Thinaah-Pearly mula menjarakkan kedudukan bermula di mata ke-12, sebelum berjaya menamatkan permainan dengan kemenangan 21-17 ke atas juara beregu wanita Petronas Terbuka Malaysia minggu lalu itu.
Ia juga sekaligus menebus kekalahan mereka di kejohanan Indonesia Masters bulan lalu.
“Kunci kemenangan kami hari ini, kami bermain dengan tenang, kekal fokus dan sekali sekala aggresif …walaupun ada kesilapan kami cepat memperbetulkannya, kami cukup puas hati, ” kata Thinaah.
Lawan Thinaah-Pearly di separuh akhir ialah pasangan nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Ye Fan.
Sementara itu, beregu utama lelaki negara Aaron Chia- Soh Wooi Yik turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Chinese Taipei Chang Ko Chi-Poh Li Wei dengan keputusan straight set 
23-21, 21-16.
Menanti mereka di separuh akhir nanti seteru yang tidak asing bagi mereka, beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Gandingan wanita negara Anna Ching-Teoh Mei Xing, tidak perlu terlalu merendah diri kerana tampil dengan aksi cemerlang dalam 2 aksi di tanah air sendiri.
Gandingan negara di ranking ke 37 dunia itu melakar kemaraan sehingga ke suku akhir Perodua Masters Malaysia walaupun akhirnya tewas kepada beregu dari Korea Selatan Jeong Na Eun- Kim Hye Jeong, ranking ke-11 dunia dengan keputusan 14-21, 18-21.
Beregu muda lelaki negara “Patatimo boys”  Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri juga belum mampu untuk memberikan tentangan yang sengit ke atas beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto apabila tewas mudah 10-21, 16-21 di suku akhir.
Dalam pada itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat- Shevon Lai juga kandas di suku akhir selepas gagal menandingi kehebatan beregu nombor satu dunia dari China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 10-21, 14-21.
- Advertisement -