Giliran Sabah membuktikan kemampuan mereka selepas tiga wakil melangkah ke pentas final dalam saingan Bawah 16 tahun Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS Divisyen 1 Pusingan 1 hari ini.

Dalam aksi perseorangan lelaki B16, Daniel Edry Elvestly menjadi tumpuan apabila menunjukkan jalan keluar kepada pilihan kedua dari Johor, Muhd Ariffin Nazri Md Zakaria.

Turun sebagai pemain pilihan ke 3 / 4, Daniel gagal utuk membaca gerakan Ariffin sekaligus tewas set pertama 16-21.

Namun, pemain kelahiran Kota Marudu ini tetap fokus dan tenang sepanjang perlawanan sambil menanti peluang keemasan untuk memerangkap lawan.

Percaturannya ternyata berhasil untuk memastikan kemenangan di dua set berikutnya 21-17, 21-14 untuk mara ke final.

“Di awal set pertama saya gagal bermain mengikut momentum yang ditentukan tetapi di set kedua saya hanya mengikuti cara permainan lawan dan menantinya untuk melakukan kesilapan.

“Keyakinan semakin tinggi dan sudah tentu saya mahukan kemenangan esok,” kata Daniel.

Menanti Daniel adalah pemain Johor, Wee Yee Hern yang dipaksa bertarung tiga set sebelum menang 21-14, 13-21, 21-19 ke atas Lim Jhian Meng dari Kedah.

Dalam saingan perseorangan perempuan B16, Goh Shuen Tong semakin hampir memuktamadkan misi meraih kemenangan selepas mara ke final dengan menewaskan Gan Wan Yan dari Pulau Pinang dengan keputusan 21-13, 24-22.

“Lawan saya tampak tidak fokus diawal set dan banyak melakukan kesilapan tetapi di set kedua dia (Gan Wan Yan) bermain lebih aggresif tetapi saya berjaya mengawal permainan dan menang,”kata  Shuen Tong

Shuen Tong akan berdepan pemain tuan rumah, Sik Xiao Hui di pentas final esok.

Xiao Hui turut melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan kedua dari Johor, Ler Yee Huey 22-20, 21-17.

Shuen Tong turut cemerlang dalam acara bergu perempuan B16 dimana gandingannya dengan Cassey Rynn Rompog berjaya menewaskan gandingan pilihan pertama dari Johor Ley Yee Huey-Teoh Ju Kee dengan kemenangan straight set 21-11, 21-18.

Dipentas final, Shuen Tong-Cassey Rynn akan berdepan pilihan kedua Selangor, Sik Xiao Hui-Wong Zhi Yi yang menewaskan pasangan dari Sabah, Nur Adela Nadia Ali-Clay Shervina Joinis 21-12, 21-14.

“Kami sudah tahu cara permainan lawan dan tidak banyak masalah untuk meraih mata dan memastika kemenangan menjadi milik Sabah.

“Untuk final kami tidak mahu terlalu yakin kerana pernah tewas di kejohanan lain. Jadi ini adalah peluang untuk kami membalas dendam,”kata Cassey.

Dalam pada itu, aksi final Divisyen 2 yang berlangsung di Kuantan memperlihatkan kejutan berlaku dalam saingan perseorangan perempuan B16.

Pilihan kedua dari N Sembilan, Chew Tze Teng muncul juara Pusingan Pertama selepas menang ke atas pilihan pertama dari Kuala Lumpur, Amanda Yap Hwa Leng dalam pertarungan tiga set 21-14, 11-21, 22-20.

Kekalahan Amanda ditebus Ting Wen Xuan yang turun dengan status pilihan pertama dalam acara perseorangan lelaki.

Wen Xuan melakar kemenangan straight set 21-15, 21-16 ke atas pilihan kedua dari Perak, King Kiem Hwa.

Amanda Yap tidak pulang dengan kehampaan selepas merangkul gelaran juara dalam acara bergu perempuan.

Gandingannya dengan Tai Jo Yi tampak resah seketika selepas tewas di set pertama namun bangit untuk menoktahkan kemenangan tidak mengecewakan selepas berjaya melakar kemenangan 16-21, 21-18, 21-18 ke atas bergu pilihan kedua dari Perak, Aneesa Soofiyah Roslan-Gobi Vannee.

Pasangan Tan Shi Ling-Ting Wen Xuan dari Kuala Lumpur yang juga pilihan pertama turut dipaksa bertarung tiga set sebelum mengesahkan status selaku juara bergu lelaki dengan keputusan 18-21, 21-14, 21-19 ke atas bergu dari Melaka, Mahazain Amani Aman Nazri-Soh Ping Chuan.

Aksi final turut berlangsung di Putrajaya melibatkan saingan Divisyen 3.

Perseorangan lelaki B16 menyaksikan pilihan pertama dari Kelantan, Goo Vie Keat menepati ramalan untuk muncul juara selepas menang ke atas pemain tuan rumah, Segaran Pugalventhan straight set 21-18, 21-11.

Wakil dari Sarawak, Audrey Vanessa Chee turut menepati statusnya selaku pilihan pertama selepas menang straight set 21-17, 21-11 ke atas rakan sepasukan Lee Zi Suen.

Saingan bergu lelaki menyaksikan Ashley Chua Kai Quan-Jeremy Juan Zhen Liang mencipta kejutan buat kali kedua.

Selepas menyingkirkan pilihan pertama, Ashley dan Jeremy menewaskan pilihan kedua dari Perlis, Lakamagi Latief Mahyudin-Muhd Zharif Aniq Shahrul Annuar straight set 21-15, 21-10 untuk muncul juara.

Sarawak terus gah apabila meraih kemenangan ketiga menerusi bergu perempuan selepas pasangan Audrey Vanessa Chee-Brenda Lai Qian Tung kenyingkirkan gandingan dri Terengganu yang juga pilihan kedua, Nur Fatin Ezzaty Mohd Kamal Razaman-Izzati Faqehah Razali 21-15, 18-21, 21-17.

- Advertisement -