Pasukan bolasepak bawah 23 tahun negara akan ke China pada Jun untuk mengharungi beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, yang akan berlangsung 19-30 Ogos depan.

Namun timbul kebimbangan pemain-pemain yang terlibat dengan skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee itu tidak akan mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing kerana ia bukannya berlangsung pada tarikh rasmi kalendar FIFA.

Malah sebelum ini Johor Darul Takzim (JDT) milik Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga tidak melepaskan pemain mereka sekiranya perlawanan berlangsung bukan pada tarikh rasmi FIFA namun baginda meminta agar isu ini ditangani secara berbeza memandangkan ia adalah untuk kepentingan negara.

“Ini bukan sekadar perlawanan persahabatan biasa untuk kita suka-suka pergi bermain di luar negara, ianya persiapan untuk satu kejohanan (Sukan SEA) yang mana kita mengharapkan pasukan negara akan melakukan yang terbaik kerana kita adalah tuan rumah.

“Saya sendiri, akan melepaskan pemain saya (JDT) jadi saya harapkan pasukan lain pun sama, mengutamakan agenda negara. Kita mahu hasil terbaik, capai kejayaan tetapi pada akhirnya ia terpulang kepada setiap pasukan. Itu hak dan keputusan mereka,” kata Tunku Mahkota Johor itu.

Baginda bercakap kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara FAM diwakili Setiausaha Agong, Dato’ Hamidin Mohd Amin dan Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) diwakili Ketua Pegawai eksekutifnya, Izham Ismail di ibu negara pada Rabu.

Untuk rekod, Malaysia kali terakhir memenangi pingat emas Sukan SEA adalah di temasya Jakarta/Palembang 2011 di mana ketika itu skuad B-23 negara kendalian Kim Swee menewaskan Indonesia sekaligus mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun sebelum itu di Laos.

Pada edisi 2013 di Myanmar, cabaran Malaysia tersekat di separuh akhir dan nasib lebih malang di Singapura 2015 apabila gagal melepasi halangan peringkat kumpulan justeru harapan tinggi diletakkan ke atas skuad B-22 negara untuk mengembalikan maruah yang tercalar dalam edisi ke-29 kali ini di hadapan penyokong sendiri.

Sementara itu, mengenai MoU yang dimeterai, Izham berkat ia adalah sebagai simbolik komitmen dan kerjasama antara FAM dan PFAM dalam pelbagai aspek terutamanya berkaitan kebajikan dan pembangunan karier pemain.

“Antara intipati terkandung dalam MoU tersebut adalah berkenaan hak imej pemain, prosedur pengurusan kes, pendidikan karier profesional dan program persaraan para pemain. Selain itu menerusi MoU ini juga, PFAM akan turut menjadi pemegang taruh dalam setiap penggubalan dasar dan polisi melibatkan pemain profesional yang ingin dirangka bagi memastikan pautan yang lebih holistik,” jelas Izham. – OLEH MUHAMMAD AIMAN  

- Advertisement -