annuar
Tan Sri Annuar Musa

Oleh Muhammad Aiman

Meskipun kedudukan kewangan tidak dalam keadaan yang baik malah isu tunggakan gaji bekas jurulatih dan pemain juga tidak menampakkan tanda-tanda menemui penyelesaian, Kelantan nampaknya sudah memulakan satu lagi episod berbelanja mewah untuk tujuan penambahbaikkan pasukan.

The Red Warriors menggunakan tempoh rehat panjang Liga Malaysia untuk operasi ‘pembersihan’ pasukan dengan dua pemain import, Dramane Traore dan Jonathan Lucca yang tidak berjaya menunjukkan prestasi baik sepanjang 15 perlawanan Liga Super dan Piala FA musim ini, menjadi yang terawal untuk disingkirkan.

Mungkin lebih tepat untuk dikatakan bahawa episod ‘buang duit’ Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah pun bermula lebih awal sejak jurulatih dari Bulgaria, Velizar Emilov Popov dibawa masuk sebagai jurulatih baru menggantikan K.Devan yang melepaskan jawatan pada penghujung April.

Bagi sebuah persatuan yang bergelut dengan masalah kewangan, tindakan menggantikan jurulatih tempatan dengan jurulatih asing dilihat ramai sebagai satu tindakan yang kurang bijak tatkala KAFA mempunyai pilihan untuk menjimatkan kos dalam urusan pelantikan jurulatih baru.

Dalam kes Dramane, penyingkiran pemain itu sememangnya sudah dijangka setelah pemain import dari Mali itu gagal untuk menepati reputasi besar selaku penjaring terbanyak Liga Super 2015 dan menjadi sasaran kritikan sejak dari awal musim.

Ejen pemain itu, Alif Azilan mengesahkan bahawa Dramane telahpun menerima notis penamatan kontrak dari KAFA yang akan berkuatkuasa pada 24 Jun depan, dan menjelaskan Dramane menerima keputusan KAFA untuk menamatkan kontraknya dengan hati terbuka.

Manakala pengguguran Lucca disahkan oleh presiden KAFA sendiri, Tan Sri Annuar Musa yang berkata keputusan terpaksa dibuat selepas menerima laporan penilaian prestasi dari Popov dan dia turut membayangkan ‘ops bersih’ di kem The Red Warriors tidak akan berhenti setakat itu.

Ini sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan dua lagi pemain import iaitu Jonathan McKain yang masih merawat kecederaan serta Blazhe Ilijoski tatkala Kelantan juga telah menguji tiga calon pemain import dari Nigeria iaitu Jacob Olayemi Ogunleye, Sani Shehu Emmanuel dan Noah Olawale Ojuola dalam aksi persahabatan menentang skuad Piala Presiden Kelantan minggu lalu.

Usaha berterusan yang diambil KAFA untuk memantapkan persiapan pasukan dengan membawa ke mari jurulatih dan pemain import, tidak memperlihatkan mereka sebagai sebuah pasukan yang bermasalah dari segi kewangan.

Justeru, ianya situasi yang menghairankan apabila mereka tidak mengambil serius isu tunggakan gaji yang mungkin mendorong Persatuan Bolasepak Malaysia untuk mengambil tindakan tegas. Atau adakah sememangnya KAFA mahu tindakan diambil ke atas mereka demi meraih simpati penyokong? 

- Advertisement -