SEKIRANYA prestasi terkini menjadi ukuran, juara Liga Wanita UniKL Ladies pastinya muncul sebagai ancaman terkuat buat juara bertahan PKS Uniten-KPT memastikan Piala Vivian May Soars 2021 terus berada dalam kabinet trofi mereka musim ini. 

UniKL Ladies tampak kebal apabila memanfaatkan mata maksima dari kesemua lima perlawanan Liga, sekaligus menjadikan pasukan itu sebagai pilihan utama meraih kejayaan berganda dalam penampilan pertama musim ini.

Dengan barisan penyerang dan penjaring gol terbanyak Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Nur Atira Ismail sedia mengemudi UniKL Ladies untuk merealisasi satu lagi rekod,  Lailin Abu Hassan pula perlu bijak mencatur strategi berkesan untuk PKS Uniten menyekat kemaraan UniKL Ladies. 

Ketika UniKL berdepan tugas lebih mudah untuk ke akhir apabila berdepan Sabah (yang dikalahkan 7-0) dalam Liga, cabaran PKS Uniten pula agak getir dan perlu memastikan melepasi halangan separuh akhir menentang skuad pilihan PDRM Blue Warriors.  

Dan dengan keputusan seri 2-2 pada pertemuan Liga, pasti saingan timbal-balik separuh akhir menuntut pendekatan dan strategi baru dari kedua-dua pasukan.

“Tempoh rehat memberikan peluang untuk berehat dan mengembalikan kecergasan. Harapan saya ialah pemain memberikan komitmen tinggi dan memastikan peluang tidak disia-siakan,” kata Lailin. 

Pengendali UniKL Ladies Roslan Jamaluddin pula tidak mahu terlalu yakin atau mengetepikan cabaran Sabah biarpun sudah mencatat kejayaan besar 7-0 ke atas anak Yahya Atan dalam liga sebelum ini.

“Persiapan lancar dan  tiada kecederaan ke atas pemain, Tetapi menentang Sabah, kami perlu berhati-hati kerana suasana dan semangat dalam saingan timbal balik Piala Vivian May Soars berbeza,” kata beliau. 

Selepas bergelar naib juara, PDRM Blue Warriors sudah tentu mahu mengecapi kejayaan menjulang Piala biarpun sedar cabaran getir PKS Uniten KPT dan UniKL Ladies menanti. 

Pengendali PDRM Ahmad Nizam Yusof tidak mahu terlalu yakin kerana reputasi lawan separih akhir mereka, PKS Uniten sebagai juara bertahan, tidak boleh diperlekeh. 

“Memang tugas getir berdepan Uniten kerana dibarisi pemain berpengalaman dan muda yang mampu pergi jauh dalam saingan Piala ini. Kami akan menggunakan strategi khusus dua perlawanan yang akan dihadapi nanti. 

SEPARUH AKHIR PIALA VIVIAN MAY SOARS 2021

Ahad, 28 Mac:

Separuh Akhir 1

UniKL Ladies mln Sabah 

PDRM Blue Warriors mln PKS Uniten-KPT 

Rabu, 31 Mac:

Separuh Akhir 2

PKS Uniten-KPT mln PDRM Blue Warriors 

Sabah mln UniKL Ladies  

- Advertisement -