Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan dakwaan dua penembak rifle negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Siti Muslifah Zulkifli bahawa terdapat komplot untuk menjatuhkan mereka adalah tidak berasas.

Justeru Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengatakan tiada sebab untuk mereka melayan tuntutan permohonan maaf dari dua penembak itu yang telahpun digugurkan dari skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya telah bertemu dengan kesemua empat penembak yang digugurkan dari Program Podium iaitu Nur Suryani (Taibi), Nur Ayuni, Ezuan (Nasir Khan) dan Siti Muslifah. Bukan sekali, tetapi dua kali, namun tetap gagal mencapai kata putus.

“Perlu saya tegaskan kita hanya fokus kepada atlet yang mahu beri komitmen seperti Nur Suryani dan Ezuan, sebab itu mereka berada dalam Program Kita Juara, selebihnya kita tak mahu layan. Saya rasa mereka faham perkara ini jadi tidak perlu saya ulas lebih lanjut,” kata Ahmad Shapawi.

Dalam sidang media pada Jumaat, Nur Ayuni dan Siti Muslifah menuntut MSN, Datuk Sabiamad Abdul Ahad (pengurus pasukan menembak KL 2017) dan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) untuk memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan undang-undang kerana telah mencemar imej mereka dengan menyatakan bahawa kemerosotan prestasi dan tiada disiplin adalah punca nama mereka digugurkan dari senarai 23 atlet membawa cabaran di KL 2017.

Dua atlet senior itu mendedahkan kelantangan mereka bersuara mengenai kepincangan Program Podium sejak digugurkan dari program elit itu pada Februari lalu sebagai punca mereka disabotaj dan cuba disingkirkan malah mereka turut dinafikan peluang menceritakan masalah ini kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Datuk Sabiamad pula berkata, “Mereka terlalu emosi dan ikutkan perasaan,saya sendiri menasihatkan mereka supaya tidak berputus asa dan kembali bangkit. Saya ada menghubungi Nur Ayuni, menawarkannya pergi ke Korea tetapi dia sendiri menolak dengan mengatakan mahu berlatih sendiri.”

Berikutan keengganan pihak-pihak yang dinyatakan tampil memohon maaf, Siti Muslifah berkata dia dan Nur Ayuni akan menfailkan saman malu dan mengheret pihak berkenaan ke mahkamah untuk membersihkan nama mereka, selain mengharapkan agar ianya tidak berulang kepada atlet-atlet lain.

Untuk rekod, ketika di Sukan SEA Singapura 2015, gandingan Nur Ayuni dan Siti Muslifah bersama-sama Nur Suryani berjaya menyumbangkan tiga pingat perak menerusi acara 50m riffle prone berpasukan, 50m rifle 3 posisi berpasukan dan 10m rifle udara berpasukan.

Malah Nur Ayuni turut menyumbangkan pingat emas menerusi acara 50m rifle 3 posisi serta pingat gangsa menerusi acara 10m rifle udara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -