Selepas gagal meraih pingat semalam, Ooi Tze Liang berpeluang untuk memburu pingat pertamanya selepas melayakkan diri ke pusingan akhir terjun 3m papan anjal lelaki individu.

Tze Liang menduduki tangga ke 9 daripada 17 penerjun yang mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan.

Selepas enam pusingan, penerjun berusia 24 tahun ini mengumpul 370.10 mata.

Penerjun terbaik negara milik Chew Yiwei yang menamatkan pusingan kelayakan di tangga ke enam dengan pungutan 391.75 mata.

Namun kekecewaan melanda seorang lagi penerjun negara, Mohd Amsyar Azman apabila tersingkir di pusingan kelayakan.

Penerjun berusia 25 tahun ini konsisten selepas lima terjunan pada satu ketika, namun terjunan terakhir dengan rutin Forward 2 1/2 Somersaults 3 twist berakhir dengan kekecewaan.

Amsyar gagal mengawal teknik terjunan sekaligus gagal meraih sebarang mata pada terjunan ini dan menduduki tangga ke 16 dengan 325.15 mata keseluruhan.

Insiden ini hampir sama ketika beliau mengambil bahagian di Sukan Olimpik Rio 2016, menyaksikan penerjun kelahiran Perlis itu menduduki tangga ke 29 keseluruhan.OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -