Penyerang sensasi Kemboja, Chan Vathanaka  mengakui menolak tawaran dua pasukan lain masing-masing dari Liga Thailand dan Portugal demi mahu menyarung jersi naib juara Liga Super, Pahang.

Pemain itu percaya skuad tok gajah adalah pilihan terbaik untuk mengembangkan karier serta meningkatkan lagi kualiti permainannya dan mahu memanfaatkan pengalaman beraksi secara pinjaman dengan kelab J3 Jepun, Fujieda MYFC untuk membantu Pahang memburu gemilang.

“Selain Thailand dan Portugal, ada juga beberapa pasukan dari Malaysia yang menawarkan kontrak, tetapi saya berpendapat Pahang adalah yang terbaik kerana mereka mempunyai reputasi yang baik dan merupakan antara pasukan yang sentiasa memberi cabaran serius.

“Saya lihat mereka juga mempunyai sebuah pasukan yang berkualiti serta jurulatih yang bagus, jadi semua ini meyakinkan saya dan membantu saya membuat keputusan dengan mudah. Saya berharap pengalaman bermain diliga negara saya dan juga Jepun akan membantu saya mengharungi musim cemerlang bersama Pahang,” ujar pemain itu.

Vathanaka, pemain berusia 23 tahun mula menjadi sebutan apabila dia mempamer aksi mantap dan menjaringkan dua gol ketika tewas kepada Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Pemain ini memulakan kariernya bersama Preah Khan Reach pada 2011 sebelum mewakii Boeung Ket Angkor selama enam musim dari 2012-2017. Dia kemudian dipinjamkan ke Fujieda namun mengharungi perjalanan yang mengecewakan di sana apabila sekadar membuat tiga penampilan selaku pemain gantian.

Vathanaka merupakan pemain dari Asia Tenggara kedua menyarung jersi Pahang musim depan setelah pasukan itu turut mendapatkan khidmat pertahanan Singapura, Safwan Baharuddin.

Mereka juga telah mengekalkan khidmat penjaring terbanyak, Matheus Alves manakala Mahamadou Sumareh pula diberitakan hampir pasti akan didaftar sebagai pemain tempatan. 

Jika Sumareh didaftar sebagai naturalisasi, maka Pahang akan mempunyai dua lagi kekosongan untuk pemain import dan pasukan juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 itu dijangka akan mengikat Ljubo Baranin (Kuantan FA) serta pemain kelahiran Nigeria, Vincent Obi Iyke. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -