Bekas tonggak tengah Selangor, S. Veenod menjadi pemain pertama dibawa masuk Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi menyarung jersi pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Pemain berusia 29 tahun itu yang mewakili Selangor selama enam musim mengikat kontrak dua tahun bersama Kelantan dan dijangka diberi peranan mengemudi barisan tengah pasukan itu bersama kapten veteran, Badhri Radzi.
“Kehadiran Veenod adalah tepat pada waktunya untuk membantu Piya (Badhri) memandangkan ramai pemain senior tidak disambung kontrak. Jadi saya percaya pengalaman luas yang ada pada Veenod bukan sahaja boleh membina semula kekuatan pasukan tetapi juga boleh membimbing pemain muda pasukan ini,” kata Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.
Untuk rekod, Veenod memulakan karier seniornya bersama Pulau Pinang pada 2008 dan kemudiannya mewakili USM FC selama semusim pada 2011. Dia menyertai Selangor setahun kemudian dan memainkan peranan penting dalam membantu gergasi merah kuning menjulang Piala Malaysia 2015.
Sebelum ini, Kelantan mengumumkan keputusan berani untuk membentuk pasukan bersandarkan kudrat pemain muda yang diserap dari skuad Piala Presiden lantas hanya mengekalkan beberapa pemain senior antaranya Badhri, Khairul Fahmi Che Mat dan Farisham Ismail selain memanggil semula Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Shahrul Hakim Rahim, Fakhrul Zaman Wan Zawawi serta Faizol Nazlin yang beraksi secara pinjaman dengan pasukan lain.
Sementara itu, Veenod yang cukup dikagumi penyokong dek kerana stamina luar biasanya hingga pernah digelar memiliki “dua jantung” tekad mahu membantu Kelantan menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Super selain meletakkan sasaran peribadi menjulang satu piala musim depan.
“Ia merupakan pengalaman baru bagi saya untuk menyarung jersi Kelantan setelah enam musim bersama Selangor. Saya akan gunakan pengalaman yang ada untuk membalas kepercayaan pengurusan tetapi sokongan peminat juga penting bagi membolehkan saya beraksi cemerlang bersama pasukan ini,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN