Tuan rumah sukan SEA 2021, Vietnam mula mengatur ‘langkah’ dalam misi mempertahankan pingat emas bagi acara bolasepak.
Apa tidaknya, perlawanan melibatkan Sang Naga Merah serta perlawanan separuh akhir dan akhir akan dilangsungkan di Stadium Kebangsaan My Dinh.
Lokasi yang cukup sempurna buat tuan rumah memandangkan padang latihan juga berdekatan dengan stadium sekaligus ‘menjimatkan’ masa dan tenaga serta tidak perlu mengharungi kesesakan lalu lintas harian.
Sementara itu, dua stadium di Hanoi dan satu lagi stadium yang terletak di wilayah Nam Dinh dipilih sebagai venue bagi acara bolasepak di Sukan SEA 2021 nanti.
Saingan peringkat kumpulan akan dilangsungkan di Hang Day di Hanoi dan Stadium Thien Truong di Nam Dinh.
Pemilihan stadium tersebut berdasarkan kapasiti penonton yang mampu mengisi sehingga 20 000 penonton pada satu masa selain lokasinya yang terletak kira kira 75 minit dari ibu negara.
Manakala Stadium Cam Pha yang terletak disebelah utara wilayah Quang Ninh akan menjadi venue tunggal bagi perlawanan melibatkan kategori wanita. Stadium ini akan menjalani proses naik taraf untuk menepati piawaian antarabangsa.
Bagi acara futsal Vietnam menetapkan Komplek Sukan yang terletak di wilayah Ha Nam dan sedang dalam proses naik taraf malah ia sentiasa dipantau oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Vietnam 2021 untuk memastikan ia disiapkan mengikut masa yang ditetapkan selain kualiti pembinaan.
Kompleks Sukan ini dibina pada 2014 dan mampu memuatkan sehingga 7500 penonton.
Temasya edisi ke 31 dijadual berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember di sekitar Hanoi dan 10 wilayah berdekatan.
Penganjur juga menetapkan 36 jenis sukan dimana 2/3 daripadanya merupakan sukan sukan yang dipertandingkan di Sukan Asia dan Olimpik.
Manakala empat lagi sukan yang akan disenarai kelak merupakan sukan sukan yang berada di dalam senarai rayuan yang dikemukakan oleh negara negara bertanding ketika Mesyuarat Pesekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) baru baru ini.
Ketika edisi 2019, Vietnam menduduki tangga kedua keseluruhan dibelakang tuan rumah, Filipina dengan 98 pingat emas.
Lebih manis, Vietnam melangkah keluar dari Manila selaku pemenang pingat emas bagi acara bolasepak lelaki dan wanita.