nicol.david

Oleh Muhammad Aiman

Ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David akan mengetuai cabaran negara di Kejohanan Skuash Wanita Jemputan SRAM 2016 membabitkan enam pemain yang akan berlangsung di Pusat Skuash Nasional, Bukit Jalil dari 27 – 31 Julai.

Turut menyertai pemain di ranking keempat dunia itu adalah lima lagi pemain di kedudukan 20 terbaik dunia iaitu pemain Mesir, Omneya Abdel Kawi (8), Joelle King (9) dari New Zealand, Joshna Chinnapa (10) dari India, pemain England Jenny Duncalf (14) dan pemain nombor dua negara, Delia Arnold (18).   

Meskipun kejohanan yang julung kali diadakan ini tidak menawarkan sebarang hadiah wang kemenangan sebaliknya setiap pemain hanya dibayar yuran penampilan, motivasi bekas pemain nombor satu dunia itu tetap tinggi dan mahu mengerah aksi terbaik untuk membuktikan kualiti permainannya masih di tahap tertinggi.  

“Ianya sesuatu yang bagus untuk diadakan kejohanan seperti ini, pertama kali kita menjemput pemain luar datang bermain, Satu usaha yang baik dari SRAM, saya mengharapkan perlawanan yang menarik dan hujung minggu yang menghiburkan buat semua.

“Mungkin kejohanan ini tiada tarikan dari segi kenaikan ranking atau hadiah kemenangan, tetapi saya percaya semua pemain mahu berikan yang terbaik, kerana bagi saya kejohanan ini boleh dijadikan sebahagian dari latihan dan persediaan untuk kejohanan-kejohanan besar selepas ini.

“Ianya bukan mengenai wang atau hadiah semata-mata, tetapi mengenai apa yang kita mahu capai setelah berlatih berminggu-minggu, berbulan-bulan, untuk melihat di mana tahap kita. Tiga pemain di kedudukan 10 teratas dunia akan turut beraksi jadi sudah tentunya kejohanan ini punyai keunikan tersendiri,” ujar Nicol.

Sementara itu, Omneya yang ditemui Sports247 berkata kejohanan ini hadir tepat pada waktunya memandangkan dia dan pemain-pemain lain kini sedang dalam persiapan untuk beraksi di Terbuka Hong Kong yang dijadual berlangsung pada bulan depan.

“Saya tidak letak sebarang sasaran khusus di sini, ia lebih kepada saya mahu jadikannya sebagai perlawanan pemanas badan. Kami semua akan beraksi di Terbuka Hong Kong jadi beraksi di sini boleh bantu persiapan saya. Malaysia telah mengambil satu inisiatif yang hebat dan sebolehnya saya mahu melangkah jauh.”

Untuk makluman, format pertandingan akan menyaksikan enam pemain dibahagikan kepada dua kumpulan di mana Kumpulan A akan dianggotai Nicol, Joshna dan Jenny manakala Omneya, Joelle dan Delia di dalam Kumpulan B.

Setiap pemain akan bermain secara round-robin, dengan dua pemain teratas dalam setiap kumpulan akan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

 

Jadual perlawanan :

Rabu, 27 Julai (bermula 6.30 ptg)

Nicol David lwn Jenny Duncalf; diikuti Omneya Abdel Kawy lwn Delia Arnold

Khamis, 28 Julai (bermula 6.30 ptg)

Nicol David vs Joshna Chinnapa; diikuti Omneya Abdel Kawy lwn Joelle King

Jumaat, 29 Julai (bermula 6.30 ptg)

Joshna Chinnapa lwn Jenny Duncalf; diikuti Joelle King lwn Delia Arnold

Sabtu, 30 Julai (bermula 5 ptg)

Separuh akhir

Ahad, 31 Julai (bermula 4 ptg)

Tempat ke-5/6

Tempat ke-3/4

Final

- Advertisement -