WILAYAH PERSEKUTUAN bangkit menguasai arena kayak 500 meter sukan Kenu apabila menyambar tiga daripada enam emas di Kompleks Sukan Air Precint 6 di sini, hari ini.

Selepas gagal meraih sebarang pingat emas pada hari pertama yang menyaksikan penguasaan Johor, Khairul Naim Zainal  memulakan rentak cemerlang WP apabila memenangi emas acara Kayak 500 meter (K1) dengan catatan seminit 52 saat, sedikit di depan pencabar dari Terengganu Ahmad Ariff Rasydan (Johor) dan Ahmad Lutfi Hadi Said (Terengganu).

Khairul Naim kemudiannya mengemudi rakan-rakannya, Mohd Nazrin Najib, Muhamad Baihaqi Md Yunus dan Nik Afiq Nik Mazli untuk memenangi acara K4 dengan masa 1:34.005s; di depan kuartet Johor (1:34.269s) dan Terengganu (1:37.994s).

Skuad pendayung wanita WP juga menyinar apabila memenangi emas K2 menerusi pasangan Aishah Farhanah Azwan dan Marina Mustaffa yang merakam 2:04.904s, mengatasi pasangan Johor (2:06.663s) dan pasangan Terengganu (2:20.671s).

Johor yang memenangi lima daripada enam emas pada hari pertama, memungut hanya dua emas hari ini menerusi K2 lelaki dari gandingan Ahmad Nukman Hadi Ayob dan Muhamad Fakhrullah Rumaize (1:43.0s), mengatasi Terengganu (1:44.0s) dan WP (1:46.0s).

Emas kedua Johor terhasil dalam acara K4 wanita menerusi gandingan Farah Zulaika Tokiman, Norkaisah Zaaenudin, Nur Syahirah Fuad dan Nurul Najieha Zulkifli yang mencatat 1:55.780s; mengatasi kuartet Terengganu (1:57.063s) dan kuartet WP (1:57.291s).

Sementara itu, Terengganu memecah dominasi kedua-dua pasukan itu pada hari kedua, apabila Syahidah Asyikin Rusli muncul pemenang emas dengan masa 2:08.362s, di depan Farah Zulaika dari Johor (2:11.364s) dan pendayung WP, Aisyah Farhana (2:26.079s).

- Advertisement -