Kejohanan Badminton 100PLUS Jelajah Remaja Elit 2021 Pusingan Pertama bagi kumpulan B yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya semakin rancak apabila pemain pemain pilihan yang beraksi dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita bawah 16 tahun tersingkir di peringkat separuh akhir pada Sabtu

Kategori lelaki bawah 16 tahun, pilihan pertama, Eizarif Eznish Hairulnizam dari P Pinang ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Johor, Wee Yee Tern dalam aksi tiga set 19-21, 21-19, 21-14 untuk megesahkan slot ke final.

“Agak sukar untuk tentukan situasi kerana saya mengalami kecederaan hamstring di peha kanan sebelum aksi bergu lelaki bermula.

“Saya akan lihat bagaimana keadaan esok,”kata Yee Tern.

Beliau akan berdepan seorang lagi wakil Pulau Pinang, Tan Kean Wei yang turut melakar kejutan apabila menundukkan pilihan kedua dari Johor, Gavin Ng Jing Yi.

Meskipun mengalami kecederaan, Wee Yee Tern tetap berganding dengan Toh E Hern dalam aksi bergu lelaki malah berjaya melakar kemenangan ke atas rakan seperjuangan, Leow Chee Yue Kevin-Ooi Yi Ping 21-12, 21-17.

Yee Tern dan E Hern akan berdepan satu lagi rakan sepasukan, Tan Jia Le-Yun Hang Siau untuk menentukan kejuaraan.

Sementara itu dalam saingan wanita bawah 16 tahun, Dania Sofea Zaidi (Johor) melakar kejutan di peringkat separuh akhir hari ini selepas menundukkan pilihan pertama dari P Pinang, Oo Shan Zi dengan kemenangan 21-18, 17-21, 21-10.

Beliau akan berdepan Celine Ng (P Pinang) dipentas final esok untuk menentukan kejuaraan bagi acara perseorangan wanita bawah 16 tahun.

Namun, hasrat Sofea untuk beraksi di pentas final dalam acara bergu wanita tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri daripada meneruskan aksi separuh akhir selepas rakannya, Tang Wang Lin mengalami kecederaan ketika berdepan pilihan pertama, Oo Shan Zi-Celine Ng.

“Dua set awal saya tidak bermain dengan baik kerana banyak melakukan kesilapan dan jurulatih minta saya untuk bertenang dan fokus ketika perlawanan. Pergerakan lawan pun agak lambat dan saya manfaatkan dengan permainan yang laju.

“Agak kecewa kerana terpaksa melepaskan acara bergu kerana setiap kejohanan yang saya sertai akan bermain acara bergu juga,”kata Sofea.

Shan Zi-Celine akan berdepan Tania Nair Navin Kumar-Wong Yue Qin (Johor) dipentas final esok.

Sementara itu aksi final perseorangan lelaki bawah 14 tahun akan menyaksikan pertemuan Khaw Khai Shyang (Pahang) dengan wakil tuan rumah, Ethan Oh Jun Hui manakala Lee Joine (P Pinang) dan pilihan kedua N Mishaliny (Pahang) akan berentap bagi aksi final perseorangan wanita.

Aksi final perseorangan lelaki bawah 12 tahun akan menemukan dua wakil Pahang, Marcus Hang Yug Hwei dan Lucas Yeo Zhou Jin manakala pilihan kedua dari Johor, Low Zi Yu dan Mirza Batrisyia Aghnia Nazri (Pahang) akan berentap bagi menentukan kejuaraan perseorangan wanita bawah 12 tahun.

Kejohanan Badminton 100PLUS Jelajah Remaja Elit 2021 Pusingan pertama bagi kumpulan A, B dan C berlangsung dari 11 hingga 15 Mei dan terbahagi kepada tiga kumpulan.

Kumpulan A terdiri dari negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur, dan Kelantan. Kumpulan B pula terdiri daripada negeri Putrajaya, P Pinang, Pahang, N Sembilan dan Johor sementara kumpulan C melibatkan negeri Sabah, Perlis, Kedah, Terengganu dan Sarawak.

Bagi Pusingan 1, Kumpulan A dilangsungkan di Kuala Lumpur, sementara kumpulan B diadakan di Putrajaya manakala Perlis menjadi tuan rumah bagi kumpulan C .

Kejohanan melibatkan kategori bawah 12 tahun, 14 tahun, dan 16 tahun lelaki dan wanita.

100PLUS, minuman isotonik nombor 1 di Malaysia, merupakan Minuman Rasmi bagi kesemua acara dan aktiviti BAM termasuk bagi Kejohanan Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia.

100PLUS juga merupakan penaja utama 100PLUS Jelajah Remaja Elit (Bawah12 Tahun, Bawah14 Tahun dan Bawah 16 Tahun) dan Kejohanan-Kejohanan Remaja Kebangsaan Antara Negeri 100PLUS.

100PLUS, yang merupakan penaja perak pada Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, nyata amat sinonim dengan pembangunan dan sokongan terhadap sukan di negara ini.

Selain BAM, 100PLUS juga menyokong Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga pembangunan sukan di peringkat remaja menyokong Liga KPM.

- Advertisement -