Ivan Yuen

Oleh Muhammad Aiman

Langkahan Ivan Yuen di Kejohanan Skuash New Zealand Classic tersekat di peringkat separuh akhir, setelah pemain nombor dua negara itu kecundang kepada pemain tuan rumah Paul Coll, pada Sabtu.

Turun dengan misi membalas dendam, Ivan gagal mempertahankan kelebihan 2-1 ke atas pemain pilihan utama yang berada di ranking ke-34 dunia itu sebaliknya tewas 3-2 (11-9, 5-11, 11-7, 5-11, 9-11) dalam aksi lima set yang berlangsung di Palmerston Road.

Dalam aksi final yang akan berlangsung Ahad, Coll akan berdepan pilihan kedua Australia, Rex Hedrick yang mara ke final setelah mengetepikan tentangan sengit pemain England, Joshua Masters 11-13, 14-12, 11-5, 4-11, 14-12.  

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Ivan kepada Coll setelah tewas kepada pemain sama di separuh akhir Kejohanan Antarabangsa HKFC bulan lalu namun jurulatih pasukan negara, Ong Beng Hee berpendapat secara keseluruhannya pemain ranking ke-54 dunia itu telah menunjukkan peningkatan yang baik.

“Coll sekali lagi menjadi penghalang buat Ivan, dan memang ianya mengecewakan untuk melihat dia tewas 9-11 pada set kelima. Tapi dia ketika ini berada di landasan yang tepat dan berpotensi baik untuk memecah masuk ke kelompok 50 terbaik dunia bulan depan,” kata Beng Hee.

Destinasi seterusnya bagi Ivan adalah Terbuka Antarabangsa Christchurch, juga di New Zealand dari 14-19 Jun di mana dia akan turun sebagai pilihan ketiga di kejohanan itu.

Pemain berusia 25 tahun itu akan menentang pemain wildcard tuan rumah, Scott Galloway di pusingan pertama, dan berpotensi untuk mengulangi pertemuan menentang Coll sekali lagi sekiranya mara ke separuh akhir.

- Advertisement -