Selepas suram susulan kegagalan skuad badminton negara mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan campuran semalam, kem menembak hadir mengembalikan semangat juang apabila meraih pingat gangsa.

Atlet kelahiran Terengganu, Alia Sazana Azhari meraih pingat gangsa selepas menduduki tangga ketiga dalam acara 25m pistol wanita di Lapang Sasar Belmont.

Selepas menamatkan saingan dikedudukan keempat di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Alia tampak turun dengan misi mahu memperbaiki catatanya di Gold Coast.

Kem menembak negara mempertaruhkan Alia Sazana dan Bibiana Ng untuk memburu pingat pertama dalam acara menembak.

Di pusingan pertama, tiada masalah buat Bibiana dan Alia yang berada di kelompok lapan terbaik daripada 14 penembak yang beraksi untuk ke pusingan kedua.

Alia tampak lebih kemas meskipun berada di kelompok bawah pada satu ketika, memperbaiki tekniknya sekaligus menghuni tangga ketiga manakala Bibiana kian tersungkur ke kedudukan bawah sebelum tersingkir selepas menduduki tangga ke 7 keseluruhan.

Alia terus tenang mengekalkan kedudukan ketiga meskipun ditentang sengit penembak dari Malta, Eleanor Bezzina.

Atlet kelahiran Terengganu ini mengesahkan status sebagai pemenang pingat gangsa selepas mengumpul 26 mata.

Kekecewaan menyelubungi atlet tuan rumah, Elena Galiabovitch selepas gagal meraih pingat emas dilaman sendiri, mengumpul 35 mata, 3 mata dipisahkan dengan pemenang pingat emas di India, Heena Sindhu. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -