Ong Sai Hung
Ong Sai Hung

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan negara melepaskan peluang untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Kejohanan Skuash Berpasukan Remaja Dunia lebih awal setelah tunduk 1-2 kepada Amerika Syarikat (USA) dalam aksi kedua Kumpulan F di Bielsko Biala, Poland.

Juara remaja dunia yang baru, Ng Eain Yow (gambar utama) memastikan Malaysia bermula dengan positif untuk mendahului 1-0 apabila menewaskan Andrew Douglas dalam pertarungan lima set 6-11, 11-6, 11-8, 12-14, 11-8 namun langkahannya gagal dituruti rakan sepasukan lain.

“Ia sedikit mencabar secara mental untuk kembali ke gelanggang setelah baru sahaja menjuarai acara individu dua hari lalu. Andrew seorang pemain yang cukup bagus, dan saya gembira untuk mengatasinya apatah lagi ia pastinya memalukan untuk saya tewas di perlawanan pertama dalam acara berpasukan,” kata Eain Yow.

Begitupun, kemenangan Eain Yow seolah tidak bermakna apabila USA, pilihan keenam bangkit menyamakan kedudukan 1-1 setelah Spencer Lovejoy menundukkan Ong Sai Hung  7-11, 12-10, 11-6, 11-6.

USA kemudiannya mengesahkan kemenangan menerusi Samuel Scherl, setelah pemain itu menundukkan Farez Irwan 11-6, 11-4, 11-4 dalam masa kurang setengah jam untuk membolehkan USA mengungguli kedudukan kumpulan.

Dengan dua kemenangan termasuk ke atas Afrika Selatan sebelum ini, USA sudahpun layak ke pusingan kalah mati dan dijangka menjuarai Kumpulan F apabila turun menentang Sepanyol yang tewas dua perlawanan terdahulu pada aksi terakhir kumpulan.

Sementara Malaysia yang bermula dengan kemenangan 3-0 ke atas Sepanyol pada Jumaat, wajib menang ke atas Afrika Selatan dalam satu lagi aksi jika tidak mahu cabaran tersekat di peringkat kumpulan.

“Ia adalah aksi yang buruk dari pasukan saya. Sai Hung dan Farez kedua-duanya beraksi teruk. Sai Hung sepatutnya memenangi perlawanannya. Kini, kami perlu untuk menewaskan Afrika Selatan dan tengoklah macam mana undian nanti,” menurut jurulatih remaja kebangsaan, Andrew Cross.

Dalam pada itu, tiada kejutan disaksikan dalam perlawanan lain, dengan pilihan utama Mesir (Kumpulan A), pilihan kedua Pakistan (Kumpulan B), pilihan ketiga Perancis (Kumpulan C) dan pilihan keempat India (Kumpulan D) kesemuannya mengungguli kumpulan masing-masing.  

- Advertisement -