anuar.musa
Annuar … Pictures courtesy of Kamarul Akhir

Oleh Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa hari ini mencabar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengenakan tindakan tegas ke atas persatuan itu susulan isu tunggakan gaji lima bekas pemain pasukan Kelantan musim lalu.

Tanpa mahu mengakui kesilapan persatuan sendiri yang berbelanja melebihi kemampuan sehingga membawa kepada isu itu, Annuar dilihat lebih berminat untuk menyelar FAM serta Football Limited Liability Partnership (FMLLP) yang mencadangkan tindakan pemotongan mata diambil ke atas Kelantan sekiranya gagal menjelaskan tunggakan gaji bekas pemainnya berjumlah hampir setengah juta sebelum 31 Mei.

“Saya alu-alukan, sila ambil tindakan jika mereka rasakan itu tindakan betul dan wajar. Inilah bolasepak Malaysia, terlalu fikir soal ambil tindakan. Mereka perlu ingat setiap persatuan adalah pemegang taruh dan budaya mengenakan hukuman bukan kaedah penyelesaian terbaik,” ujar Annuar dalam sidang media di ibu negara petang tadi.

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab badan induk untuk menjaga kepentingan setiap pemegang taruh yang melabur hampir setengah billion ringgit secara kolektif setiap musim justeru mahu FAM dan FMLLP yang dilantik mengurus perjalanan Liga Malaysia mengubah sikap mereka.

“Tanpa pemegang taruh, jangankan FAM malah FMLLP pun bukan sesiapa. Mereka seharusnya bekerja untuk kami dan berusaha bawa bolasepak ke tahap lebih tinggi.

“Jika ada persatuan yang mengalami masalah, datang berjumpa dan berbincang dengan kami, bukan secara terbuka di media. Pergi kepada media tidak membantu menyelesaikan masalah. Cuba fahami, setiap persatuan ada masalah mereka sendiri, terutamanya apabila hak kami dirampas.

“Saya lihat pasukan yang bertanding seolah dirompak di siang hari, mereka meraih sehingga RM70 juta tetapi kami mendapat pulangan yang kecil dan disuruh urus pasukan tanpa sebarang masalah. Bila ada masalah bukan mahu membantu tapi diugut pula untuk dikenakan tindakan,” tambah Annuar lagi.

Sebelum ini Persatuan Pemain Professional Malaysia (PFAM) meluahkan rasa kecewa berikutan kegagalan KAFA mematuhi jadual pembayaran tunggakan gaji kepada Amar Rohidan, Fakri Saarani, Fitri Omar, Nazri Ahmad dan Amiridzwan Taj yang sepatutnya menerima bayaran mereka pada 15 April lalu.  

Jelas Annuar, keutamaan KAFA ketika ini adalah untuk melangsaikan bayaran pemain dan pegawai yang kekal musim ini selepas mengalami defisit RM2 juta pada tahun lalu.

“Jika dipukul sampai mati sekalipun, kalau tiada duit memang tidak boleh buat apa. Jadi silakan jika mereka mahu membunuh KAFA dengan memotong mata, namun mereka harus faham bahawa kita berusaha. Jadi tolong duduk berbincang dengan kami dan menganggap kami sebagai sebahagian dari mereka,” katanya.

- Advertisement -