Astana Qazaqstan

Astana Qazaqstan Team adalah pasukan terawal dari kalangan pasukan berstatus WorldTeam yang mengesahkan kemunculannya bagi edisi ke-27 Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), 23-30 September depan.

Walaupun kurang menyerlah dalam perlumbaan besar antarabangsa sepanjang musim 2023 setakat ini, pasukan yang disifatkan antara muka tetap dalam LTdL sejak kemunculan kali pertama pada 2012 itu, masih dianggap antara pencabar hebat pada saingan lapan peringkat LTdL 2023 ini.

Ini berdasarkan rekod pencapaian mereka, sejak Alexandr Dyachenko menduduki tangga keempat individu keseluruhan pada 2012 dan bersama-sama Andrey Zeits dan Valentin Iglinsky membantu pasukan itu menduduki tangga kedua berpasukan keseluruhan, di belakang Androni Giocatoli-Venezuela.

Kemenangan peringkat pertama Astana dikecapi menerusi pelumba Itali, Andrea Guardini pada Peringkat 7 LTdL 2013 dari Kuantan ke Dungun dan Ricardo Minali menghadiahkan 2 kemenangan peringkat pada 2018.

Daripada tiga nama pada era awal itu, Zeits yang kini berusia 36 tahun masih menganggotai pasukan Astana hingga kini, malah dia turut muncul pada edisi 2022 lalu dan menduduki tangga ke-10 keseluruhan, selain membantu pasukan itu menduduki tangga ketujuh berpasukan manakala pakar pecutnya, Gleb Syritsa pulang dengan kemenangan Peringkat 1.

Walaupun belum menghantar senarai nama enam pelumbanya,  penganjur LTdL 2023 yakin pasukan yang diuruskan legenda dunia, Alexander Vinokourov itu akan tetap menurunkan barisan terbaik bagi menangani cabaran perlumbaan berstatus 2 ProSeries itu.

Ketua Pegawai Operasi LTdL2023, Emir Abdul Jalal berkata,  Astana sentiasa ingin menepati reputasinya sebagai pasukan berstatus WorldTeam dalam mana-mana perlumbaan, tidak terkecuali LTdL.

Malah, ranking terbaru pasukan itu yang berada di tangga ke-20 keseluruhan dalam kalangan pasukan profesional Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan hanya 4557.4 mata setakat 8 Ogos lalu, menguatkan ramalan Astana bakal menghantar pelumba terbaik dan seimbang pada edisi kali ini untuk bersaing dalam klasifikasi keseluruhan dan Asia.

“Kesempatan menambah mata ranking dalam LTdL ini pasti tidak mahu dilepaskan oleh Astana terutama menjelang penghujung musim perlumbaan.

‚ÄúWalaupun mereka mungkin tidak menghantar nama seperti Mark Cavendish, Simone Velasco atau juara kebangsaan Kazakhstan Alexey Lutsenko, saya pasti akan ada nama-nama berpengalaman daripada senarai 30 pelumba pasukan itu yang akan turut serta,‚ÄĚ kata Emir dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Emir, Astana kini berada dalam keadaan terdesak untuk mengukuhkan pungutan mata dalam senarai ranking UCI bagi mengelakkan pasukan yang mempunyai reputasi besar itu terhumban ke kelompok bawahan.

Velasco memenangi Peringkat 3 perlumbaan Vuelta a la Communitat Valenciana tahun ini manakala Cavendish yang diharap menambah koleksi kemenangan Grand Tour tetapi mengalami kemalangan yang menyebabkan patah tulang selangka di Tour de France, hanya mencatat kemenangan pada Peringkat 21 Giro d’Italia.

Paling menyinar adalah Lutsenko yang memenangi jersi kuning Giro di Sicilia serta dua peringkat di Circuito de Getxo-Memorial Hermanos Otxoa, selain menjuarai acara lebuh raya dan ujian masa individu kebangsaan Kazakhstan tahun ini.

Selain Zeits dan Syritsa, Yevgeniy Fedorov yang pernah menang di Peringkat 1 di Kuching dalam LTdL 2020, Vadim Pronskiy yang menduduki tangga ketiga individu keseluruhan pada LTdL 2019 dan juara kebangsaan 2022 Yevgeniy Gidich (keenam keseluruhan LTdL 2018) adalah antara nama-nama yang mungkin memperkuatkan Astana pada LTdL 2023 ini.

‚ÄúNama-nama ini pernah berkayuh di LTdL dan arif dengan laluan, cabaran cuaca panas dan hujan serta bentuk persaingan yang ada dalam LTdL. Pengalaman mereka ini mungkin dijadikan sandaran oleh pengurusan Astana dalam memilih nama enam pelumba terakhir untuk bersaing nanti,‚ÄĚ kata Emir lagi.

Edisi ke-27 LTdL 2023 sejauh 1,280.3km yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan membuka tirai saingan di Kerteh, Terengganu pada 23 September depan, melalui 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dan berakhir di Kuala Lumpur City Center (KLCC) pada 30 September.

Seramai 132 pelumba daripada 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam, Continental dan pasukan kebangsaan Malaysia akan mengambil bahagian.

- Advertisement -