Sekumpulan pelajar jurusan sarjana pentadbiran perniagaan telah menganjurkan program amal E-sukan yang berlangsung di Kampus Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Program julung kali ini diadakan di UKM-GSB bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan program E-sukan kepada masyarakat umum malahan menggalakan masyarakat untuk beramal anjuran kumpulan Caring Souls yang terdiri daripada 15 pelajar jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan diketuai oleh Muhammad Neshan dan dipimpin oleh Dr. Wan Mohd Hirwani selaku penyelia kumpulan. 

Seramai 128 orang peserta yang berumur diantara 18 sehingga 40 tahun telah mendaftarkan diri dalam program amal E-sukan yang telah dirasmikan oleh pemenang juara E-sukan FIFA 18 Kejohanan Malaysia Cyber Games (MCG), S Kathireswaran.

Ketika berucap, S Kathireswaran menyarankan orang muda untuk bergiat cergas dalam acara E-sukan kerana arena ini berpotensi tinggi di masa akan datang.

Aktiviti amal ini telah berjaya mengumpul dana sebanyak lebih kurang RM 15,000 melalui penjualan tiket dan tapak perniagaan serta sumbangan ikhlas dari syarikat tempatan dan individu.

Cek replika sejumlah RM 10,000 telah diserahkan kepada DiC (Drug Intervention Community) Malaysia selepas majlis perasmian bagi membiayai kanak-kanak pembawa HIV.

DiC Malaysia merupakan sebuah pertubuhan NGO yang berpusat di Kuantan, Pahang dan mempunyai pusat penjagaan kanak-kanak pembawa HIV.

Selain melindungi kanak-kanak malang tersebut, pertubuhan NGO yang ditubuhkan pada tahun 1998 ini juga bergiat cergas dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

Kumpulan Caring Souls turut berhasrat untuk menjalankan aktiviti Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (J.E.R.I.) serta sesi beramah mesra bersama dengan kanak-kanak tersebut di pusat penjagaan kanak-kanak pembawa HIV di Kuantan, Pahang. Aktiviti J.E.R.I ini dijangka akan dilaksanakan pada 20 Julai 2019.

 

- Advertisement -