Oleh Ku Mohd Lufti

Saingan jelajah berbasikal terbesar Asia, Le Tour de Langkawi bakal membuka tirai secara rasmi esok dan tumpuan bagi peminat sukan berbasikal tempatan terarah kepada pasukan berstatus benua, Terengganu Cycling (TSG) yang dilihat bakal memberi cabaran sengit dalam perebutan jersi jersi yang dipertandingkan.

Sandaran utama TSG dibahu pelumba kelahiran Indonesia, Dadi Suryadi yang dilabel oleh jurulatihnya, Jeremy Hunt sebagai pakar pendaki terbaik.

Pelumba yang pernah beraksi bersama pasukan Pegasus Continental sebelum berhijrah bersama pasukan yang berpengkalan di Terengganu, TSG disandarkan untuk merebut jersi kuning selaku pendahulu kategori individu.

Namun, pelumba berusia 27 tahun ini enggan terlalu yakin kerana belum mengetahui sepenuhnya kemampuan 119 pelumba lain yang akan beraksi tahun ini.

Dadi tidak menyertai rakan rakan sepasukan menjalani latihan di Australia kerana masalah visa, namun ia bukan penghalang untuk terus berlatih di Indonesia.

“Jeremy menyusun program latihan saya menerusi sistem atas talian (online) kerana teknologi sekarang ada GPS (global positioning system) dan jurulatih akan memantau menerusi kaedah ini.

“Latihan di Indonesia juga agak sukar kerana banyak laluan mendaki, justeru penampilan saya di LTdL tahun ini dengan sasaran kelompok 10 terbaik dalam kedudukan individu keseluruhan.”

Pencapaian tahun lalu, Dadi menaiki podium ketika peringkat kelima Jelajah Malaysia selepas menamatkan perlumbaan ditempat ketiga.

Tujuh perlumbaan yang diharungi sepanjang 2016, nama Dadi Suryadi tidak lekang daripada kelompok 10 pelumba terbaik dalam kategori individu serta raja bukit bagi perlumban berstatus 2.2 seperti Jelajah Singkarak, Jelajah Banyuwangi Ijen dan Jelajah Filipina.

Perlumbaan peringkat pertama LTdL 2017 akan bermula dari Kuala Berang dan berakhir di Kuala Terengganu dengan jarak 124.8 Kilometer.

- Advertisement -