Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhamad Dhaarma Raj Abdullah mengekalkan 17 pemainnya yang beraksi di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita tahun lalu bagi menghadapi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia Wanita yang akan berlangsung bermula 14-22 Januari ini di Stadium Tun Razak.

Dalam senarai 18 pemain yang diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini, Dhaarma hanya menggugurkan pemain muda, Nur Zhafirah Aziz dan memanggil pemain berpengalaman Nurul Shafiqa Mat Isa sebagai pengganti.

Manakala penjaga gol terbaik ACT, Farah Ayuni Yahya pula kembali ke dalam skuad selepas tersisih dari Jelajah New Zealand bulan lalu kerana kecederaan.

ā€œSelepas latihan intensif selama beberapa minggu akhirnya kita telah berjaya kumpulkan skuad terbaik. Rata-rata pemain ini memiliki lebih 50 kap antarabangsa dan telah beraksi di Jepun, China, Liga Hoki Australia, ACT serta yang terbaru dalam lima perlawanan ujian menentang New Zealand,ā€ kata Dhaarma.

Tambahnya, ā€œSasaran kita adalah menamatkan aksi peringkat kumpulan di pusingan awal di kedudukan teratas dan kemudian baru letak sasaran seterusnya. Kita akan berdepan lawan yang kuat seperti Ireland. Kita memang menghormati pasukan lawan yang lain, tapi okus kita adalah pada Ireland kerana mereka di ranking ke-16 dan ianya perlawanan wajib menang bagi kita.ā€

Selain Malaysia, Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua akan turut membabitkan empat pasukan lain dari Asia iaitu Singapura, Hong Kong, Thailand, Kazakhstan serta pasukan dari Eropah iaitu Ireland, Itali dan Wales.

Malaysia diundi sekumpulan dengan Ireland, Kazakhstan dan Hong Kong manakala Itali (ranking 15 dunia) diundi bersama Thailand, Singapura dan Wales.

Dua pasukan terbaik di Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua ini akan mara ke pusingan separuh akhir yang akan berlangsung sama ada di Belgium ataupun Afrika Selatan.

- Advertisement -