formula-one-kl

Oleh Ku Mohd Lufti

Tayar bakal diuji apabila trek di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjanjikan cabaran baru bagi perlumbaan Formula 1 Grand Prix Malaysia kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali menjelaskan, tahap atau kemampuan sistem tayar masih belum dapat diramalkan meskipun kesemua pasukan dan Pirelli telahpun dimaklumkan dua bulan awal tentang kerja kerja menaik taraf litar sepanjang 5.54 kilometer.

“Tiada siapa tahu tahap optimum tayar baharu itu selepas beberapa pusingan kerana Litar Sepang adalah satu-satunya litar yang dibaik pulih dan dinaik taraf dalam kalender F1 musim ini.

“Komposisi lapisan pada litar itu direka khas untuk tahan kepada iklim dan cuaca di Malaysia, jadi ia berbeza dengan litar lain di seluruh dunia,” kata Datuk Razlan.

Trek baharu itu akan digunakan buat pertama kali bagi acara sukan permotoran Khamis ini, selepas ujian tayar MotoGP Michelin awal Julai lepas dan Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) pada Mei, apabila sesi latihan bebas untuk perlumbaan sokongan F1, iaitu siri GP2 dan GP3 serta perlumbaan kereta ‘touring’ bermula.

Selain trek yang diturap semula itu, Razlan berkata cuaca, kelembapan dan hujan tropika juga mampu mengubah situasi perlumbaan menjadi lebih menarik kepada peminat dan mencabar bagi pelumba.

Dalam saingan Formula 1, dua pemandu Mercedes Nico Rosberg dan Lewis Hamilton kini menguasai dua kedudukan teratas selepas 15 perlumbaan.

GP Malaysia dijangka menjadi salah satu tumpuan dalam menentukan siapakah juara dunia bagi musim 2016 meskipun perlumbaan berbaki lima lagi untuk ditamatkan.

Tambah Datuk Razlan lagi, faktor cuaca, kelembapan dan hujan tropika juga mampu mengubah situasi perlumbaan menjadi lebih menarik dan mencabar.

- Advertisement -