
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima keputusan berkuat kuasa yang dikeluarkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan yang difailkan oleh FAM dan tujuh pemain tersebut.
Rayuan FAM telah ditolak. Rayuan para pemain pula telah diterima sebahagiannya, dengan hukuman mereka dipinda, namun mereka masih tidak dibenarkan bermain selama lapan bulan lagi. Alasan penuh bagi Keputusan tersebut masih belum dikeluarkan, dan sebarang ulasan lanjut mengenai merit keputusan itu akan dibuat selepas butiran penuh keputusan tersebut diteliti.
FAM menghormati bidang kuasa CAS, namun FAM berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang, terutamanya apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS. FAM akan menilai perkara ini dengan lebih lanjut setelah keputusan penuh diperoleh.
Sepanjang prosiding ini, FAM telah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyelian yang berlaku. Siasatan oleh agensi kerajaan di Malaysia serta FIFA masih sedang berjalan. FAM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan.
Keputusan ini amat mengecewakan, khususnya bagi para pemain. Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran. Para pemain tersebut adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia.
FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh yang sukar ini. Pasukan kebangsaan kekal fokus terhadap objektifnya dan akan terus berusaha keras demi bola sepak Malaysia.
* Siaran media ini dikeluarkan pada Jumaat, 6 Mac 2026





























