ANTARA FOTO/INASGOC/Djuli Pamungkas/Sup/18

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa Jawatankuasa Rayuan yang bermesyuarat pada hari ini telah menolak rayuan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung penamatan kontrak sebelah pihak oleh pemain mudanya, Akhyar Rashid.

KFA sebelum ini telah mengemukakan rayuan kepada FAM setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status FAM pada 4 Disember lalu yang menerima tuntutan pemain berusia 19 tahun itu untuk penamatan kontrak secara sebelah pihak di mana dia dibenarkan untuk menebus kontraknya bersama KFA dengan bayaran sebanyak RM210,000.

Selain itu, sebagai bayaran tambahan kepada KFA, mana-mana pasukan baru yang menandatangani kontrak dengannya dikehendaki membayar sebanyak RM75,000 kepada KFA untuk nilai pampasan latihan, dan KFA menyifatkan jumlah itu sebagai tidak memadai.

Dalam satu kenyataan hari ini, badan induk itu menjelaskan jumlah nilai pampasan yang ditetapkan bukanlah diletak sewenang-wenangnya oleh FAM tetapi ia adalah berdasarkan artikel-artikel yang terkandung dalam Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

Menurut mereka, jumlah RM210,000 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

Sementara jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

Keputusan oleh FAM itu bermakna Akhyar akan kekal sebaga ejen bebas dan juara Liga Super, Johor Darul Takzim sebelum ini sudahpun memaklumkan bahawa mereka sedang berunding pemain itu dalam usaha membentuk sebuah pasukan mantap untuk memberikan cabaran sengit di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -