lucero.safiq

Oleh Muhammad Aiman

Kelantan bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Johor Darul Takzim 2-2 tatkala kedudukan pendahulu Liga Super sekali lagi diambil alih Felda United yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Selangor.

Jaringan Hadin Azman, Zahrahan Krangar dan Francis Forkey Doe membantu Felda United menundukkan barisan kurang berinspirasi Selangor di Jengka untuk memintas Harimau Selatan di tangga teratas dengan mengutip 18 mata.

Namun ianya aksi di Kota Bharu yang mencuri tumpuan ramai apabila hasrat JDT melebarkan rekod kemenangan kepada 13 perlawanan berturut-turut disekat Kelantan. 

Di sebalik ketinggalan 0-2 menerusi jaringan penyerang import pasukan pelawat Juan Lucero pada minit ke-10 dan 53, Kelantan membuktikan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV masih lagi kekal sebagai gelanggang keramat buat mereka apabila menterjemahkan kebangkitan hasil jaringan Indra Putra Mahyudin dan Wan Zaharulnizam Zakaria sekaligus memastikan skuad bimbingan Mario Gomez terpaksa berpuas hati dengan satu mata.  

Kelantan yang turun tanpa kelibat penjaring terbanyak mereka, Blaze Ilijoski tidak banyak memegang bola dan mencipta gerakan berbahaya di babak pertama malah berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan pantas dan kawalan bola kemas yang dipertonton skuad juara Piala AFC itu..

Sebaliknya JDT yang beraksi di hadapan hampir 15,000 penyokong tuan rumah dilihat begitu dominan menguasai bola dan melancarkan serangan bertali arus yang mencemaskan pintu gol dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Gol pertama JDT berpunca dari sepakan sudut Safiq Rahim yang ditanduk Marcos Antonio dan ditolak masuk dengan mudah oleh Lucero. JDT dilihat semakin bernafsu apabila Lucero sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pertahanan Kelantan dikemudi Jonathan McKain apabila menyempurnakan hantaran Azamudin Akil untuk JDT selesa mendahului 2-0.

Ketika tiada harapan tinggi diletakkan untuk melihat Kelantan kembali dalam permainan, Indra Putra menanduk masuk hantaran rakan sepasukan untuk menewaskan Farizal Marlias sekaligus menyaksikan aksi lebih bertenaga dari tuan rumah.

Wan Zaharulnizam kemudiannya menanduk masuk dari sudut sukar untuk menewaskan Farizal bagi mengikat kedudukan 2-2 dan membantu Kelantan melonjak ke tangga kelima dengan mengutip 9 mata. 

- Advertisement -