BEKAS juara, Terengganu menyerlah dengan membolot enam pingat emas pada hari ketujuh temasya SUKMA XMSN 2022 yang dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, malam ini. 

Upacara pembukaan rasmi SUKMA XX MSN 2022, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, berlangsung meriah dalam suasana penuh warna-warni di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, dengan penyertaan kontinjen dari kesemua 14 negeri dan juga Brunei Darussalam. 

Terengganu, juara lima kali yang kali terakhir menjulang kejuaraan SUKMA pada 2018, mula menunjukkan taring dengan dua emas, masing-masing dalam sukan berbasikal dan olahraga selain memanah. Sepaktakraw memastikan Terengganu mengakhiri kempen hari ini di tangga ketiga keseluruhan di belakang Johor dan Sabah. 

Terengganu menebus kekecewaan sebelum ini apabila Muhammad Saiful Islam Rizuwan memastikan emas memanah 70m Recurve Individu dalam genggaman manakala dua emas berbasikal menerusi Wan Abdul Rahman Hamdan (kriterium individu lelaki) dan Ezzatie Fifiyana Syazwanie Shaiful Hisham dalam berbasikal kriterium individu wanita. 

Dua lagi emas olahraga menerusi skuad 400m Lari Berganti-ganti Lelaki dan Ruslem Zikry Putra (400m Lari Berpagar Lelaki) selain Sepaktakraw Regu Lelaki 3 (Trio Berpasukan) membuka laluan Terengganu untuk terus mencabar kedudukan dua pasukan teratas.  

Johor bagaimanapun memastikan  kedudukan di puncak setakat ini tidak tergugat menerusi  kejayaan tiga atlet – Noraqilah Khairul dalam acara 50m Compound Individu Wanita, Muhammad Naufal Shahrul Afzam (Olahraga Lompat Bergalah Lelaki) dan J. Pushpa Letchumy dalam olahraga 5,000 meter wanita. 

Sabah mengekalkan kedudukan ke-2 untuk hari kedua berturut-turut dengan kejayaan membawa pulang empat emas lagi – tiga sumbangan atlet lompat kijang lelaki Andre Anura @Anuar, Lari Berganti-ganti 400m wanita dan Hizillawanty Jamain dan satu lagi menerusi Karata Kumite Berpasukan Wanita. 

Sarawak tampil ampuh dengan tuaian empat emas hari ini, dengan olahraga menjadi tonggak penyumbang menerusi Mandy Goh Li (400m Lari berpagar wanita), Grace Wong (Lontar Tukul Besi wanita) dan Ng Jin Kuan (lembing wanita). Memanah juga tidak menghampakan apabila menyumbang emas menerusi Joey Tan dalam 70m Recurve Individu wanita. 

Melaka, yang meraih keemua 9 emas menerusi wushu sebelum ini, di tangga keempat tetapi diekori rapat Pulau Pinang (ke-5 dengan 8 emas dan Wilayah Persekutuan yang kekal dengan enam emas di tangga ke-7. Keseluruhannya, sebanyak 86 emas, 86perak dan 107gangsa sudah dimenangi selepas enam hari pertandingan yang bermula sejak 12 September lepas. 

SUKMA XX MSN 2022, yang menawarkan 321 pingat emas dari 31 jenis sukan dan 426 acara, berakhir pada 24 September ini.  Temasya yang diadakan semula selepas tergendala akibat pandemik Covid, menarik penyertaan 6,625 atlet dan 2,709 pegawai dari 15 kontinjen. 

Esok, 31 emas menjadi buruan kontinjen menerusi olahraga (13 emas), bowling (2), Kanu (6), berbasikal (2), Gimnastik Artistic (2) dan menembak 6 emas. 

- Advertisement -