Skuad futsal lelaki kebangsaan gagal menandingi kehebatan pasukan Thailand ketika berentap di perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam semalam.

Ketangkasan pemain Thailand dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 4-3 meranapkan impian  Malaysia untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA kali ini.

Ketua jurulatih skuad negara, Chiew Chun Yong, berkata beliau berasa tidak berpuas hati dengan cara permainan yang ditunjukkan oleh anak buahnya terutama pada separuh masa pertama perlawanan.

“Saya dapat lihat, para pemain kelihatan hilang tumpuan mungkin disebabkan rasa cemas bertemu Thailand atau mungkin terlalu memikirkan sasaran pingat emas sehingga gagal memberi tumouan sepenuhnya ketika bermain.

“Bagaimanapun, saya juga gembira kerana mereka berjaya melakukan perubahan pada separuh masa kedua perlawanan meskipun gagal mengejar mata jaringan pihak lawan,” katanya Chiew.

Pada separuh masa pertama perlawanan, Thailand selesa mendahului 3-0 menerusi Kritsada Wongkaeo (minit ke-3), disusuli gol Suphawut Thueanklang pada minit ke-10 perlawanan. 

Sebelum wisel waktu rehat berbunyi, Apiwat Chaemcharoen yang berada di posisi pertahanan menambah derita Malaysia dengan gol ketiga untuk skuad Gajah Putih di minit ke-17.

Tampil dengan tangkas dan bertenaga, Malaysia tidak rela kecewa dilaman sendiri dengan aksi aggresif di babak kedua.

Kesungguhan yang ditonjolkan membuahkan hasil apabila Syed Aizad Daniel Syed Nasir  menjaringkan gol pertama untuk Malaysia di minit ke-23.

Namun , Suphawut sekali lagi meledak gol untuk menjarakkan kedudukan di minit ke-26 untuk kedudukan semasa 4-1.

Malaysia sekali lagi berjaya mencari peluang dengan menghadiahkan jaringan gol kedua pada minit ke-27 menerusi jaringan Yazid Kamaruzuan.

Anak didik Chiew terus menghidupkan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila Syed Aizad Daniel merapatkan jurang kepada 3-4 di minit ke 31.

Namun peluang peluang terhidang untuk sekurang kurangnya menyamakan kedudukan gagal dimanfaatkan sekaligus mengesahkan Thailand selaku pemenang pingat emas apabila kedudukan 4-3 kekal hingga tamat perlawanan.

“Di sini, saya dapat lihat para pemain perlu memperbaiki banyak kesalahan ketika bermain terutama cara hantaran bola yang terlalu jauh di mana menyebabkan mereka gagal mengawal gelanggang,” kata Chiew lagi.

Beliau turut memberitahu media bahawa beliau ingin melakukan transformasi terhadap skuad futsal kebangsaan kerana beliau dapat lihat mereka mampu mnyerlahkan pasukan ini untuk melangkah lebih jauh pada masa hadapan.

“Saya ingin tegaskan di sini, saya memerlukan sokongan semua terutama Persatuan Bolasepak Kebangsaan, majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan sukan untuk memberi bekerjasama bagi memantapkan lagi martabat futsal negara untuk masa hadapan,” katanya lagi.OLEH FATIN FATIHAH ANAN

 

- Advertisement -