mas-png

Oleh Ku Mohd Lufti

Persiapan terakhir skuad Harimau Malaysia menjelang saingan Piala AFF tampak positif apabila melakar kemenangan 2-1 ke atas Papua New Guinea di Stadium Shah Alam.

Perlawanan persahabatan antarabangsa ini merupakan yang terakhir buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk ‘ujikaji’ terakhir untuk memilih senarai akhir pemain yang akan dibawa ke Piala AFF.

Malaysia bagaimanapun dikejutkan dengan gol oleh pelawat seawal minit ke 6 menerusi percubaan Nigel Dabinyaba yang terbias pemain pertahanan, Shamsul Saad.

Deretan peluang mula dijanakan barisan serangan Harimau Malaysia dan peluang tersebut membuahkan hasil di minit ke 21 menerusi voli cantik Ahmad Hazwan Bakri untuk mengikat kedudukan satu sama.

Kealpaan pertahanan terus menjadi keresahan Datuk Ong kim Swee apabila membenarkan pemain pelawat melakukan serangan bertali arus ke kubu Makaysia yang dikawal Khairulazhan Khalid.

Keceriaan kem Malaysia sekali lagi bergema dua minit selepas babak kedua bermula apabila pemain pertahanan Papua New Guinea mengasari Darren Lok di dalam kotak penalti.

Peluang tersebut nyata tidak dilepaskan kapten pasukan, Mohd Amri Yahya yang menyumbat gol kedua sekaligus meletakkan Malaysia didepan 2-1.

Pertukaran dilakukan Datuk Ong Kim Swee, namun tiada jaringan tambahan dicipta menyaksikan kedudukan 2-1 memihak Malaysia kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini sekaligus membalas kekecewaan Harimau Malaysia yang tewas kepada Papua New Guinea 2-0 ketika jelajah Oceania Jun lalu.

- Advertisement -