Pengumuman mengejut oleh bintang seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov untuk mengundur diri daripada gelanggang UFC adalah kerana kedua orang tuanya.
Khabib mengumumkan persaraan sejurus selepas diumum sebagai pemenang selepas menundukkan petarung kelahiran Amerika Syarikat, Justin Gaethje dalam kejuaraan lightweight Kejohanan Pertarungan Unggul (UFC 254) di Abu Dhabi awal pagi Ahad.
Jelas petarung berusia 32 tahun itu, beliau telah berbincang dengan ibunya yang tidak mahu beliau meneruskan kariernya di dalam UFC.
Khabib berjanji dengan ibunya pertarungan dengan Gaethje adalah yang terakhir. Malah beliau juga mendedahkan ketiadaan ayahnya yang turut melatih Khabib sepanjang kariernya menjadi antara faktor persaraan daripada UFC.
Abdulmanap Nurmagomedov meninggal dunia pada awal Julai.
Khabib Numagomedov meninggalkan gelanggang UFC dengan rekod 29 kemenangan tanpa sebarang kekalahan termasuk menundukkan petarung dari Ireland, Connor McGregor pada Oktober 2018 yang mencetuskan pelbagai kontroversi.
Khabib digantung 9 bulan dan didenda $500,000 kerana didapati bersalah bergaduh sejurus selepas tamat perlawanan dengan McGregor.
Meskipun menceburi bidang yang cukup ekstrem, namun Khabib secara keseluruhannya memperlihatkan imej sebagai seorang muslim meskipun seringkali dilabel dengan petarung yang berfikiran kolot.
Kalimah ‘Alhamdulillah’ seringkali kedengaran dibibir Khabib memperlihatkan bagaimana sikapnya yang sentiasa yakin dengan ketentuanNya.
Khabib memulakan kariernya dalam seni bela diri campuran (MMA) secara profesional pada 2008 dan menyertai UFC pada 2012 dalam divisyen lightweight dan menewaskan Kamal Shalorus dalam penampilan sulungnya.