jdt.afc

Oleh Muhammad Aiman

Juara bertahan, Johor Darul Takzim dijangka tidak berdepan masalah besar untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala AFC 2016 apabila sekali lagi diundi menentang South China FC di peringkat suku akhir, pada majlis undian yang berlangsung Sabtu.

JDT terlebih dahulu akan bertandang ke Hong Kong untuk aksi pertama pada 13 September, sebelum melayani kunjungan South China dalam perlawanan timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 20 September.

Skuad Harimau Selatan bimbingan Mario Gomez menewaskan juara Liga Hong Kong sebanyak 41 kali itu 4-2 secara agregat di peringkat sama tahun lalu dalam laluan untuk mencipta sejarah menjuarai Piala AFC buat pertama kali.

Dan seandainya mengambil kira prestasi semasa JDT yang melakar rekod sempurna menang kesemua lapan perlawanan terakhir dalam saingan kelas dua Asia itu termasuk final menentang Istiqlol FC tahun lalu, South China jelas dilihat sebagai bukan tandingan bagi juara dari Malaysia itu.   

Hakikatnya, belum ada pasukan berupaya menewaskan JDT yang tampil sebagai pasukan serba sempurna kali ini, dengan pasukan terakhir menewaskan mereka di Piala AFC adalah kelab Kuwait, Al-Qadsia yang mencatat kemenangan 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama pada 30 September tahun lalu.  

Untuk rekod, JDT mara ke suku akhir setelah tampil dalam kelas tersendiri untuk membenam kelab Filipina, Kaya FC 7-1 di pusingan kedua, hasil jaringan hatrik Juan Martin Lucero, dua jaringan Azamudin Akil serta satu jaringan Jorge Pereyra Diaz dan Mahali Jasuli.   

Sementara itu, tiga lagi perlawanan suku akhir akan menemukan Air Force Club (Iraq) menentang Al-Jaish (Syria), Al-Ahad FC menentang Al-Muharraq (Bahrain) dan JSW Bengaluru (India) menentang Tampines Rovers (Singapura).

- Advertisement -