KERAJAAN memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakan arena sukan negara termasuk memberi sokongan padu terhadap Program Podium bagi merealisasikan kilauan emas di Sukan Olimpik.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan kewangan sebanyak RM240 juta sudah ditunaikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

“Oleh itu, atlit atlet tidak perlu bimbang dan tumpuan harus diberikan sepenuhnya untuk mengharumkan nama negara.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong usaha dan inisiatif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan bertaraf tinggi, bukan sahaja untuk menggalakkan sektor industri sukan tetapi juga menyediakan platform lebih kompetitif kepada atlet negara,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan temasya SUKAN MALAYSIA KE-20 (Sukma XX) di Dektar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, malam tadi.

Sukma XX dianjurkan semula dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 di Johor kerana wabak Covid19 yang melanda seluruh dunia.

Pada temasya kali ini, 15 kontinjen negeri termasuk Brunei mengambil bahagian dalam 31 jenis sukan dengan 426 pingat emas dipertandingkan, membabitkan 223 acara lelaki dan 184 acara wanita.

Dalam temasya yang bermula sejak 29 September hingga 8 Oktober itu, olahraga menawarkan 44 pingat emas iaitu cabang sukan paling banyak, diikuti akuatik (43 emas).

Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan terhadap sukan itu seharusnya disambut setiap pihak, bermula daripada atlet muda untuk memanfaatkan setiap peluang demi kemajuan sukan negara.

Sambil melahirkan rasa penghargaan kepada semua kerajaan negeri dan persatuan sukan kerana memupuk dan mencambahkan perpaduan menerusi sukan, beliau berkata perbezaan politik juga harus diketepikan demi meletakkan kejayaan lebih besar kepada Keluarga Malaysia.

Sehubungan itu, dia meminta atlet muda yang bermula di pentas Sukma supaya bangkit membuktikan kejaguhan dalam langkah pertama mereka, seterusnya membawa cabaran negara di Sukan SEA Kemboja tahun depan, Sukan Asia Hangzhou dan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia juga bagi meneruskan kesinambungan atlet negara tahun ini yang melepasi sasaran  39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa di Sukan SEA Vietnam, dan 7 emas, 8 perak dan 8 gangsa di Sukan Komanwel Birmingham, Julai lalu, selain detik membanggakan apabila pasangan beregu badminton lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul juara dunia.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya, berkata matlamat penganjuran Sukma tidak pernah tersasar daripada matlamat asalnya, malah semakin berkembang untuk melahirkan atlet yang memahami secara terperinci berkenaan industri sukan.

Menurutnya, selain terus menjadi tempat melahirkan seberapa ramai atlet muda untuk mewakili negara di pentas antarabangsa, atlet seharusnya menjadi pendorong utama untuk menghidupkan dan menyemarakkan industri sukan di Malaysia.

“Sukan seharusnya dilihat sebagai sektor yang berpotensi besar bagi menyumbang kepada pendapatan negara. Industri sukan adalah sumber ekonomi yang perlu diterokai dengan lebih meluas oleh semua pihak, khususnya para atlet,” katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2017, nilai industri sukan mencecah lebih RM18.8 bilion dengan melibatkan lebih 36,500 orang tenaga kerja.

“Kementerian Belia dan Sukan menjangkakan sasaran kadar pertumbuhan syarikat industri akan meningkat sebanyak 30 peratus, termasuk menerusi perbelanjaan isi rumah untuk kategori sukan dan nilai jualan barangan sukan,” katanya.

- Advertisement -