tokyo.2020Oleh Muhammad Aiman

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Mohd Khairi Zawi berjanji akan melepaskan jawatannya andai atlet di bawah Program Podium gagal meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Khairi yang dilantik menggantikan Dato’ Dr. Ramlan Aziz awal tahun ini, beliau optimis sasaran diletakkan boleh dicapai, dalam masa sama akan bertanggungjawab terhadap apa jua pencapaian yang diraih di temasya sukan terbesar dunia itu nanti.

“Saya berani berkata begini kerana saya amat yakin dengan pasukan di dalam Program Podium, termasuk Tim Newenham (Pengarah Program) yang begitu komited dengan peranan masing-masing.

“Tetapi jika selepas melakukan semua ini, kita masih gagal maka saya akan pikul tanggungjawab kerana itu hanya menunjukkan kepimpinan saya tidak bagus dan perlu diberikan kepada individu yang lebih layak kerana sasaran saya di ISN adalah mendapatkan pingat emas di Tokyo.”

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah meraih emas di Sukan Olimpik sejak penyertaan sulung pada 1956 di Melbourne, dengan pencapaian terbaik adalah membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa dari Rio De Janeiro pada Ogos lalu.

Sementara itu, Khairi turut menyatakan selain memburu emas pertama olimpik, matlamat utama program Podium yang menelan puluhan juta ringgit itu adalah meraih kedudukan 10 terbaik di Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018.

Program itu turut menyasarkan untuk melahirkan 10 atlet terbaik dunia di kedudukan enam teratas dunia dan meraih lebih banyak pingat dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

- Advertisement -