hadin_azman_felda
Hadin Azman

Oleh Ku Mohd Lufti

Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mahukan kemenangan dalam dua aksi persahabatan antarabangsa kelas A menentang Singapura dan Afghanistan bulan depan.

Kim Swee mengharapkan kemenangan mampu memperbaiki ranking Malaysia yang kini berada di kedudukan ke 158 dunia dalam ranking FIFA.

Sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Datuk Ong Kim Swee adalah meletakkan Malaysia di kedudukan ke 140 dunia selain menghasilkan keputusan yang positif dalam saingan Piala Suzuki AFF dan layak ke Piala Asia pada 2019.

Selain memburu kemenangan di dua aksi persahabatan antarabangsa, Datuk Ong Kim Swee juga perlu mencari barisan pemain untuk persiapan ke Piala Suzuki AFF.

“Penting untuk saya menilai pemain-pemain ini. Pada masa yang sama, penting untuk kita mencapai kemenangan di mana ia akan mengekalkan ranking kita.

“Ranking kita telah bertambah baik dan saya berharap ia dapat diperbaiki sedikit demi sedikit kerana kedua-dua perlawanan adalah bertaraf antarabangsa kelas A,” Kata Datuk Ong Kim Swee.

Lima muka baru dipanggil, iaitu, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri ( Perak), Muhammad Hadin Azman (Felda United), Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka) serta dua pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Mohd Syazwan Zainon.

Malah, Datuk Ong Kim Swee mempertahankan pendiriannya untuk memanggil Darren Lok yang baru mendapat taraf kerakyatan sebagai warga negara Malaysia.

“Akhirnya, dia dapat status warganegara. Sepanjang tempoh itu, kami telah mengikuti perkembangannya.

“Pada masa yang sama, saya telah hantar pembantu saya untuk meninjau perlawanan terakhirnya. Saya rasa itu sudah memadai untuk menilai sejauh mana keupayaannya,” katanya lagi.

 Malaysia akan menentang Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Kallang, Singapura pada 7 Okt, sebelum berdepan Afghanistan di Stadium Shah Alam, empat hari kemudian.

- Advertisement -