Kombinasi muka lama dan baharu mampu memperkuat cabaran skuad Harimau Malaya pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Tonggak pertahanan Kuala Lumpur City FC Muhammad Irfan Zakaria percaya barisan pemain dipanggil menyertai skuad kebangsaan buat kali pertama seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula serta Junior Eldstal yang dipanggil semula dapat menambah bisa pasukan ketika bersaing di UAE, nanti.

“Saya tidak fikir ia akan menjejaskan keserasian pasukan kerana kita sedar setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri dan saya percaya muka baharu dan lama kali ini merupakan pasukan terbaik untuk Malaysia bagi menghadapi misi penting di UAE,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Untuk rekod, Liridon, De Paula dan Junior Eldstal tidak disenaraikan dalam skuad negara pada pusingan pertama kelayakan 2019.

Muhammad Irfan mengakui banyak mempelajari cara kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak mengendalikan pasukan terutama dari aspek komunikasi, disiplin serta kerja keras dilakukannya dalam kem latihan kali ini.

Beliau yakin apa dipelajari mampu membantunya menjadi pemain lebih baik serta meningkatkan semangat bersaing bersama Junior Eldstal dan Dominic Tan dalam mengisi kelompongan ditinggalkan pemain pertahanan baharu Johor Darul Takzim (JDT) Mohd Shahrul Mohd Saad yang terpaksa diketepikan susulan kecederaan lutut.

Sementara itu. ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe memaklumkan bahawa tiada syarat ditetapkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) agar semua pemain divaksinasi jika mahu beraksi pada perlawanan kelayakan bulan depan.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Kedah itu berkata kesemua pemain perlu menjalani ujian calitan serta mengikuti maklumat terkini oleh FIFA dan AFC berkaitan situasi semasa pandemik COVID-19.  

Cheng Hoe juga melahirkan kebimbangan untuk berlepas ke Dubai susulan situasi pandemik yang masih reda di seluruh dunia namun sebagai jurulatih, beliau perlu bersikap positif demi memastikan pasukan meraih kejayaan di UAE dan meminta rakyat Malaysia terus menyokong skuad kebangsaan dalam keadaan sukar ini.

Skuad Harimau Malaya dijangka berlepas ke UAE pada Khamis bagi meneruskan sesi latihan intensif di sana sebelum berdepan UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan menamatkan saingan peringkat kumpulan berdepan Thailand pada 15 Jun.

Pasukan negara akan menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait di UAE pada Ahad diikuti Bahrain di Manama pada 28 Mei, sebelum memulakan kempen kelayakan. BERNAMA

- Advertisement -